
SHAH ALAM – Tindakan seorang individu mempromosi ikan dipercayai spesis larangan di TikTok mengundang padah selepas sebuah kediaman diserbu pihak berkuasa di Kajang, semalam.
Serbuan dilakukan Jabatan Perikanan Selangor itu membawa kepada sitaan 92 ekor ikan bernilai kira-kira RM2,000.
Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, risikan pihaknya mendapati seorang pengguna TikTok disyaki mempromosikan beberapa ikan larangan seperti Peacock Bass, Amazon Redtail Catfish, Tiger Shovelnose Catfish dan Gar.
Jelasnya, spesies itu merupakan larangan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import bagi Ikan) (Pindaan) 2024.
“Pemantauan lanjut berjaya mengenal pasti alamat kediaman individu itu dan melakukan serbuan sebelum menemukan beberapa akuarium yang mengandungi spesies ikan larangan,” katanya hari ini.
Menurut Noraisyah berkata, ikan yang disita melibatkan 54 ekor gar, 24 peacock bass, sembilan Amazon Redtail Catfish dan lima Tiger Shovelnose Catfish yang kemudiannya dihantar ke Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor bagi tindakan lanjut.
“Individu yang dikenal pasti sebagai pemilik akaun itu pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Padah promosi ikan larangan di TikTok appeared first on Kosmo Digital.






