Sultan Abdullah, Tunku Azizah sertai ribuan peserta hayati al-Quran di World #QuranHour

11 Mar 2026 • 12:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan hadir program World #QuranHour (WQH) 2026 di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Rabu.
image is not available
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut sama bertadarus dan bertaddabur al-Quran pada WQH 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM di Gombak pada Rabu.

GOMBAK – Kehadiran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada World #QuranHour (WQH) 2026 di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Rabu memberi sentuhan istimewa kepada program interaksi al-Quran itu yang menghimpunkan ribuan peserta dari dalam dan luar negara.

Baginda mencemar duli berangkat tiba di masjid kira-kira jam jam 11.50 pagi dengan disambut alunan selawat oleh peserta WQH 2026.

Sultan Abdullah kemudian mengambil tempat bersama peserta bagi mengikuti sesi bacaan dan tadabbur al-Quran yang berlangsung serentak di seluruh dunia tepat jam 12 tengah hari.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Hadir sama, Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar; Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pengasas Bersama Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah.

WQH 2026 yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya tahun ini mengangkat Surah al-Muzzammil sebagai surah pilihan dengan tema ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’.

Ia dianjurkan oleh WUIF dan turut dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama UIAM selaku rakan penganjur.

Menariknya, edisi 2026 mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya sesi tadabbur dan perkongsian utama disampaikan dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan mesej al-Quran difahami oleh masyarakat antarabangsa yang lebih luas.

**media[3459590]**

Pendekatan tersebut dilihat selari dengan kehadiran ramai diplomat dan wakil negara luar termasuk duta serta pesuruhjaya tinggi dari negara Turkiye, Maldives, Oman, Jordan, Iran, Tajikistan dan Rusia yang turut mengambil bahagian dalam program berkenaan selain penyertaan ramai pelajar asing universiti berkenaan.

Ketua Pegawai Kandungan WUIF, Fazrul Ismail pada 23 Februari lalu dilapor berkata, sebelum ini akses kefahaman terhadap mesej yang disampaikan menerusi program tersebut adalah terhad, khususnya peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini, kita ada menjemput duta dari negara luar, tetapi apabila mereka datang, mereka mengharapkan mereka boleh faham. Namun, apabila mereka melihat pentadabbur menyampaikan dalam bahasa Melayu, akses untuk mereka membawa mesej itu ke negara mereka menjadi terhad.

“Jadi, kita akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium di lokasi utama nanti.

"Pertama, kerana lokasi itu sendiri mempunyai ramai pelajar antarabangsa dan kita harapkan mesej daripada Surah al-Muzzammil ini sampai bukan sekadar kepada Malaysia, tetapi kepada seluruh dunia,” katanya.

Selain itu, keunikan penganjuran tahun ini juga dari segi pemilihan Surah al-Muzzammil, surah ke-73 itu sendiri yang mengandungi 20 ayat dan berperanan sebagai panduan nabi untuk memperkukuh jati diri ketika menghadapi fasa tugas lebih besar.

Astro Oasis bertindak sebagai penyiar utama WQH 2026 manakala rakan media yang turut menyokong program itu termasuk Sinar Harian, Sinar Islam, NU Ideaktiv, Media Prima, TV9, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TVAlHijrah, Astro Awani, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), IKIM FM, TV IKIM, Zayan, MYTV Broadcasting dan Denaihati.com.