
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) membangunkan satu sistem sumbangan alumni bagi memastikan setiap bekas pelajar dapat menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun kepada universiti itu.
Baginda bertitah, UiTM menjadi antara institusi terbesar negara ini dengan jumlah keseluruhan alumninya telah melepasi sejuta orang dan sumbangan mereka seharusnya lebih signifikan.
“Beta percaya nilai RM10 ringgit itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan oleh setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu pengorbanan terhadap kelangsungan UiTM.
“Dana terkumpul yang boleh menjangkau nilai RM100 juta setahun ini selain boleh digunakan untuk pembangunan UiTM dari pelbagai aspek dan membantu pelajar-pelajar baharu dan lama yang berdepan dengan cabaran kemiskinan dan kesukaran untuk meneruskan pembiayaan pendidikan.
“Di sinilah, pegangan slogan “UiTM Dihatiku” yang sering dilaungkan setiap pelajar, tenaga pengajar dan alumni dapat dibuktikan dengan nyata,” titahnya sempena Majlis Titah Diraja ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ di UiTM di sini, malam ini.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selain turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sultan Sharafuddin bertitah, graduan UiTM telah berada di setiap industri dan sektor termasuk menjadi akauntan, jurutera, doktor, peguam, arkitek, ahli akademik, usahawan, penjawat awam, tokoh korporat, penggiat seni dan media serta pemimpin dalam pelbagai bidang.
Titahnya, sebahagian daripada mereka telah menerajui organisasi besar, membina perniagaan, mencipta pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan negara yang menjadi antara ukuran sebenar kejayaan UiTM.
“Harus diingat, di sebalik setiap angka statistik itu terdapat anak Melayu dan Bumiputera dari kalangan keluarga yang susah yang telah melahirkan satu generasi yang telah berubah kehidupannya melalui pendidikan dan peluang menuntut ilmu di UiTM,” titahnya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan para graduan dan alumni UiTM terus menjaga nama baik UiTM, pensyarah dan ibu bapa masing-masing dengan meneruskan sumbangan dalam apa jua bentuk.
“Paling penting, para graduan tidak memburuk-burukkan pentadbiran dan kualiti pendidikan di UiTM.
“Nasihat Beta, peliharalah kredibiliti serta maruah universiti dengan tidak terlibat dalam gejala-gejala terkutuk seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” titahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sultan Selangor cadang sistem sumbangan alumni UiTM RM10 sebulan appeared first on Kosmo Digital.






