‘Generasi Melayu, Bumiputera mesti persiap diri dengan ilmu, kepakaran’

28 Aug 2026 • 10:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Generasi Melayu Bumiputera

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan generasi Melayu dan Bumiputera mesti mempersiapkan diri dengan ilmu, kepakaran, keyakinan dan daya saing sehingga berupaya merebut peluang atas kemampuan sendiri.

Baginda bertitah, masyarakat itu khususnya graduan perlu mempunyai kemahiran, keyakinan, penguasaan bahasa, daya fikir dan kebolehan yang diperlukan oleh industri.

“Kita tidak boleh selama-lamanya meminta dunia memberikan ruang kepada kita. Generasi Melayu dan Bumiputera akan datang mesti dipersiapkan sehingga mereka mempunyai ilmu, kepakaran,keyakinan dan daya saing yang membolehkan mereka merebut ruang itu dengan kemampuan mereka sendiri.

“Justeru, beta mencabar setiap mahasiswa dan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk sekurang-kurangnya menguasai dua bahasa asing. Ini kerana persaingan graduan dalam pasaran pekerjaan kini amatlah sengit, dengan menguasai lebih banyak bahasa ia mampu membezakan kualiti yang menjadi ukuran utama kejayaan UiTM, bukan kuantiti graduan semata-mata,” titah baginda pada Majlis Titah Diraja di sini, hari ini.

Baginda berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Titah Diraja Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM yang bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara.

Turut berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ke majlis yang juga dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Sultan Sharafuddin dalam titah sama menggesa generasi kini memahami sejarah keterbatasan masyarakat Melayu dan Bumiputera mendapat akses pendidikan tinggi, memperoleh kelayakan profesional dan seterusnya memasuki sektor-sektor penting ekonomi.

“Penubuhan UiTM membuka sebuah jalan yang sebelumnya sukar ditembusi oleh begitu ramai anak bangsa. Perjuangan itu membuahkan hasil. Pada tahun 1965, institusi yang menjadi asas kepada UiTM hari ini hanya mempunyai sekitar 219 orang pelajar dan 11 tenaga pengajar.

”Sepuluh tahun kemudian, jumlah pelajarnya telah berkembang kepada hampir 7,000 (tujuh ribu) orang, dengan kira-kira 1,000 (seribu) orang tenaga pengajar, 60 (enam puluh) program pengajian serta kampus-kampus cawangan yang mula berkembang ke beberapa negeri,” ujar baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan UiTM sebagai sebuah institusi yang memikul amanah besar yang bukan sekadar melahirkan gradua tetapi bangsa terpelajar.

“UiTM mesti terus melahirkan suatu bangsa yang terpelajar. Bangsa yang mengenal akar sejarahnya, tetapi pada masa sama mempunyai keberanian dan keupayaan untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa terbaik di dunia.

“Jika dahulu UiTM memainkan peranan besar melahirkan kelas profesional Bumiputera, maka pada masa hadapan UiTM mesti membantu melahirkan lebih ramai usahawan, inovator, saintis, pemimpin industri dan pemilik perusahaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” jelas baginda. – UTUSAN

The post ‘Generasi Melayu, Bumiputera mesti persiap diri dengan ilmu, kepakaran’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved