Sultan Selangor Kecewa Nasihat Disalah Tafsir Sebagai Campur Tangan Pentadbiran

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 3:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sultan Selangor Kecewa Nasihat Disalah Tafsir Sebagai Campur Tangan Pentadbiran

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan apabila nasihat yang diberikan baginda disalah tafsir sebagai cubaan mencampuri urusan pentadbiran negeri atau mengamalkan pemerintahan monarki mutlak.

Baginda bertitah, nasihat berkenaan bukan bertujuan mengganggu urusan kerajaan negeri, sebaliknya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Beta tidak mahu rakyat melihat nasihat beta sebagai pertikaian atau konflik antara beta dengan kerajaan. Sebaliknya, beta mahu setiap nasihat dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat dan masa depan Selangor,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengisytiharan Gelaran, Angkat Sumpah dan Ikrar Taat Setia bagi pembesar istana serta Dato’ Diraja Selangor, yang turut menyaksikan pengurniaan darjah kebesaran negeri Selangor.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memahami undang-undang yang mengawal kedudukan baginda serta batas peranan dan tanggungjawab di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia dan Selangor.

Baginda turut menegaskan komitmen untuk menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kedudukan dan kuasa Sultan.

“Sepanjang tempoh ini, beta telah melaksanakan tugas berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada beta. Beta percaya setiap individu yang diberikan tanggungjawab dalam kerajaan mempunyai tugas masing-masing yang perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan akan terus memartabatkan Islam sebagai agama negeri serta memastikan agama itu dihormati dan diamalkan oleh umat Islam di Selangor.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyeru rakyat supaya memelihara keamanan, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain dalam masyarakat Selangor yang berbilang kaum dan agama.

Baginda bertitah, perbezaan kaum, agama dan budaya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan.

“Beta menyeru rakyat supaya berhati-hati ketika membincangkan isu sensitif. Kita tidak boleh menggunakan kebebasan bersuara dengan cara yang menyinggung perasaan kaum lain atau menghina agama dan kepercayaan mereka,” titah baginda.

Baginda menegaskan kebebasan perlu disertai tanggungjawab, perbezaan pendapat hendaklah disampaikan dengan sopan, manakala kemajuan perlu seiring dengan nilai kemanusiaan.

“Beta mahu Selangor terus kekal sebagai negeri yang aman dan makmur, dengan rakyat hidup bersatu padu,” titah baginda. - Getaran, 25 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved