
KLANG, 25 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita apabila teguran atau titah Baginda berkaitan pentadbiran negeri disalah tafsir sesetengah pihak dan ahli politik sebagai cubaan mencampuri urusan kerajaan atau mengamalkan pemerintahan mutlak.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan teguran itu bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran negeri, sebaliknya bagi memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Beta ingin menjelaskan kepada rakyat bahawa, apabila Beta menegur, memberi pandangan serta menyuarakan kebimbangan terhadap sesuatu perkara berkaitan pentadbiran negeri, ia bukanlah dilakukan untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya Beta ingin memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama.
“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran Beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara Beta dengan kerajaan. Sebaliknya, Beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor.
“Namun demikian, apa yang mendukacitakan Beta adalah apabila teguran atau ‘titah’ menurut bahasa istana, disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik,seolah-olah Beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak,” titah Baginda di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.
Baginda bertitah dalam Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Baginda.
Sultan Sharafuddin menegaskan amat arif mengenai peruntukan undang-undang serta peranan dan tanggungjawab di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan negara dan Selangor.
Baginda turut menegaskan menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan kedudukan serta bidang kuasa Baginda sebagai Sultan.
“Selama ini Beta laksanakan pemerintahan Beta berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang dibawah kuasa Beta.
“Beta percaya bahawa setiap pihak yang diberi amanah dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti,” titah Baginda.





