Sultan Selangor lancar buku, setem dan syiling khas sempena Jubli Perak

19 Oct 2026 • 6:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sultan Selangor lancar buku, setem dan syiling khas sempena Jubli Perak

SHAH ALAM, 19 OKT: Sejarah 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diabadikan menerusi pelancaran buku Menjulang Takhta, setem dan syiling perak khas sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda.

Majlis pelancaran disempurnakan Sultan Sharafuddin di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam hari ini sebagai antara pengisian sambutan bersejarah itu.

Turut berkenan berangkat ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Image from: Sultan Selangor lancar buku, setem dan syiling khas sempena Jubli Perak
Petugas Perpustakaan Raja Tun Uda menunjukkan buku Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor sempena pelancarannya di Shah Alam pada 19 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Buku berjudul Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor merakam perjalanan pemerintahan Baginda, sekali gus menjadi dokumentasi sejarah yang mengetengahkan warisan institusi diraja negeri ini.

Sementara itu, sampul surat dan setem khas yang dihasilkan dengan kerjasama Pos Malaysia menampilkan simbol diraja yang mencerminkan identiti serta keunikan Kesultanan Selangor.

Antara simbol yang diketengahkan ialah Balairung Seri, Tengkolok Balung Raja, Keris Terapang Gabus dan Bunga Tanjung.

Penghasilan setem berkenaan turut menjadi medium memperkenalkan seni dan khazanah diraja kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Image from: Sultan Selangor lancar buku, setem dan syiling khas sempena Jubli Perak
Pengumpul setem, Chan Jian Peng, 52, menunjukkan setem Kemahkotaan Sultan Selangor ke-9 yang ditandatangani Baginda di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 19 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Selain itu, syiling perak khas yang dihasilkan Perbendaharaan Negeri Selangor menjadi tanda penghargaan terhadap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin.

Kesemua keluaran khas itu bukan sahaja memperingati Jubli Perak pemerintahan Baginda, malah menjadi khazanah yang boleh disimpan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved