
SELEPAS bertahun-tahun sibuk dengan dunia pengacaraan, kerjaya dan komitmen keluarga, pengacara popular, Fedtri Yahya memilih untuk kembali ke satu tempat yang mungkin sudah lama dirinduinya – kampus.
Bukan untuk mengejar populariti atau sekadar menambah gelaran, sebaliknya pemilik nama sebenar, Ahmad Fedtri Yahya mahu kembali bergelar siswa demi mencari ilmu dan mencabar dirinya dalam dunia akademik.
Terbaharu, beliau mengambil keputusan menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu.
Menariknya, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa.
Menurutnya, hasrat untuk menyambung pengajian sebenarnya sudah lama tertangguh berikutan kesibukan kerja yang seakan tidak pernah berhenti.
Namun, pada satu titik, timbul perasaan dalam dirinya bahawa sudah tiba masanya untuk kembali ke kampus.
“Tekad untuk sambung kerana seperti rasa ‘tiba masanya’ untuk kembali ke kampus mencari ilmu,” katanya kepada SinarPlus.

Menerusi perkongsian di media social miliknya juga, pengacara program Malaysia Hari Ini itu turut meluahkan rasa teruja apabila kembali bergelar siswa.
“Alhamdulillah. Kembali menjadi siswa.
“Terima kasih UPSI. Semangat untuk menikmati ilmu di kampus. Anak kandung Suluh Budiman,” titipnya.
Lari sedikit bidang
Memilih bidang Bahasa Melayu untuk pengajian sarjana bukanlah sesuatu yang terlalu asing buat Fedtri.
Malah, minat dan penglibatannya dalam bidang berkenaan sudah lama wujud, khususnya menerusi kerjayanya dalam dunia penyiaran dan pengacaraan.
Namun, kali ini dia mahu melihat Bahasa Melayu daripada sudut yang berbeza dengan menyelami dunia akademik secara lebih mendalam.
“Saya pilih Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu. Memang lari sedikit daripada bidang sebelum ini dan saya nak cuba sesuatu yang baharu.
“Minat dan penglibatan memang dalam Bahasa Melayu, tetapi saya mahu tahu dunia akademik macam mana dan mendalami konsep-konsep yang ada dalam kuliah,” jelasnya lagi.
Bagi Fedtri, bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, sebaliknya cara seseorang menggunakan bahasa mempunyai kaitan rapat dengan tahap tamadun dan keilmuan sesebuah masyarakat.
Justeru, usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu terus diperkasakan, terutama dalam kalangan generasi muda yang kini membesar dalam persekitaran media sosial dan teknologi digital.
“Saya tidak pernah menjangkakan untuk berada di kampus UPSI yang indah dan bersejarah ini. Kali ini bergelar sebagai siswa, saya bersama Abang Sabri Yunus telah memulakan APEL.Q dan saya fokus kepada bidang bahasa,” katanya.
Untuk tempoh kira-kira setahun, anak kelahiran Perak berkenaan bakal membahagikan masa antara tuntutan kerjaya dan komitmen sebagai mahasiswa.

Disiplin mas jadi kunci
Bagi individu yang mempunyai jadual kerja padat, keputusan untuk kembali belajar tentunya menuntut pengorbanan dan pengurusan masa yang cukup teliti.
Namun, perkara itu bukan sesuatu yang asing buat bapa kepada empat cahaya mata.
Katanya, sejak zaman persekolahan lagi, beliau sudah terbiasa menyusun jadual dan tegas dalam soal pengurusan masa.
“Sejak zaman sekolah memang jenis yang membuat jadual dan tegas dalam soal masa. Sanggup bersengkang mata demi impian tercapai. Jadi, ia memerlukan perancangan yang teliti,” ungkapnya berkongsi cerita.
Dalam perjalanan menuntut ilmu pula, Fedtri percaya seseorang tidak seharusnya bergerak seorang diri.
Menurutnya, sokongan daripada lingkungan yang positif penting supaya seseorang tidak terlalu lama terperangkap apabila berdepan kesukaran.
“Perlu ada circle yang saling membantu dan tidak ‘menung’ terlalu lama. Dalam ilmu, healing itu ialah mencari dalam damai. Bukan hilang dan terus malas atau terduduk tanpa ikhtiar untuk bangun kembali.
“Jatuh itu lumrah. Belajar cara bangkit dan berjuang,” ujarnya.
Bukan sekadar mahu cemerlang atas kertas
Bagi Fedtri, tujuan menuntut ilmu tidak sepatutnya semata-mata untuk mengejar keputusan cemerlang atau sekeping sijil.

Sebaliknya, perkara paling penting adalah menikmati proses pembelajaran itu sendiri dan memohon agar ilmu yang diperoleh mendapat keberkatan.
“Paling penting, nikmati dahulu ilmu itu. Minta kepada ALLAH keberkatan ilmu. Apabila matlamat jelas, akan kurang stres yang tidak perlu.
“Kalau semata-mata cemerlang atas kertas, payah. Perlu ada keseronokan dalam belajar dan sentiasa bercakap dengan diri. Kalau ada rasa tidak kena, cepat-cepat cari jalan keluar,” katanya.
Buat Fedtri, keputusan kembali ke kampus ini juga selari dengan wawasan hidup yang mahu dipegangnya – untuk sentiasa terikat dengan ilmu sepanjang hayat. Kerana baginya, proses belajar tidak pernah mempunyai noktah.
Selagi masih diberi ruang, peluang dan kesempatan, ilmu sentiasa menjadi perjalanan yang wajar diteruskan, tidak kira pada usia atau di mana seseorang berada dalam kehidupan.






