Sultan Selangor: Peluang kedua mampu ubah kehidupan insan

10 Sep 2026 • 4:52 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sultan Selangor: Peluang kedua mampu ubah kehidupan insan

SHAH ALAM, 10 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah seseorang yang pernah tersilap langkah masih mampu mengubah kehidupannya melalui keinsafan, ilmu dan kesungguhan.

Baginda bertitah ia dibuktikan menerusi usaha Dr Malik Yatam, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pertama yang berjaya menamatkan pengajian ketika menjalani hukuman di penjara.

“Beta berasa sukacita kerana telah membuat keputusan untuk memberikan pengampunan dan membebaskan Dr Malik, setelah mempertimbangkan segala faktor dengan sebaik-baiknya.

“Perkembangan positif yang ditunjukkan Dr Malik hari ini meyakinkan beta bahawa peluang kedua yang diberikan telah dimanfaatkan dengan baik,” titah Baginda Ketika melancarkan buku PhD Dari Penjara karya Dr Malik Yatam di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis pelancaran itu ialah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Presiden/Naib Canselor Open University Malaysia (OUM) Prof Datuk Dr Ahmad Izanee Awang.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa syukur dan sukacita atas kejayaan Dr Malik dalam menerbitkan buku yang merakamkan perjalanan hidupnya sebelum, semasa dan selepas menjalani hukuman di penjara.

Image from: Sultan Selangor: Peluang kedua mampu ubah kehidupan insan
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj  berkenan beramah mesra bersama Dr Malik Yatam, penulis karya “PhD dari Penjara” ketika gimik pelancaran naskhah di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam pada 10 September 2026. Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Beta berharap buku ini bukan sekadar menjadi catatan pengalaman peribadi, tetapi turut menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada semua, khususnya mereka yang sedang berusaha untuk bangkit serta membina semula kehidupan,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menzahirkan rasa syukur pada pertemuan Baginda dengan Malik sebelum ini, telah mendapat liputan yang baik dan memberi inspirasi kepada rakyat.

“Beta mendoakan semoga Dr Malik dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat serta dipermudah segala urusan. Sentiasalah merendah diri dan berpijak di bumi yang nyata.

“Pesan beta, jagalah pekerti, peliharalah nama baik diri dan keluarga serta terus berusaha memajukan diri. Jangan sesekali tenggelam dalam kemasyhuran sementara sehingga menjadi alpa, lupa diri atau sombong,” titah Baginda.

Sultan Selangor turut menasihati Dr Malik agar tidak mudah menerima sebarang tawaran yang boleh memesongkan matlamat kehidupan, termasuk menceburi bidang politik dan lebih menumpukan kepada usaha memartabatkan ilmu, keluarga serta khidmat kepada masyarakat.

“Beta berharap penerbitan buku ini menjadi permulaan kepada lembaran kehidupan yang lebih baik dan bermakna. Buktikanlah bahawa pengampunan serta peluang kedua yang diberikan telah dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda.

Image from: Sultan Selangor: Peluang kedua mampu ubah kehidupan insan
Penulis buku PhD dari Penjara, Dr Malik Yatam selepas majlis Pelancaran Naskhah Karya Dr Malik Yatam "PhD dari Penjara" dan Penyampaian Pengiktirafan Malaysia Book Of Records di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam pada 10 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada majlis itu, Dr Malik turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “Banduan Pertama Malaysia Meraih Ijazah PhD dari Penjara”, manakala OUM mendapat anugerah “Universiti Pertama Melahirkan Graduan Ijazah Phd dari Penjara.”

Sebelum ini, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Dr Malik pada Februari lalu dan pertemuan seumpama itu, kali pertama diadakan membabitkan Sultan Sharafuddin bersama dengan bekas banduan yang mendapat pengampunan sempena Hari Keputeraan Baginda pada 2024.

Selepas 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) iaitu hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana semasa kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun, akhirnya, Malik, 39, dibebaskan pada 11 Disember 2024.

Menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, Malik berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada OUM, hasil usaha melanjutkan pelajaran ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved