
SHAH ALAM – Kejayaan Dr. Malik Yatam bangkit membina kehidupan baharu selepas dibebaskan dari penjara membuktikan peluang kedua mampu menjadi titik perubahan dalam hidup seseorang.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perkembangan positif yang ditunjukkan Malik hari ini meyakinkan baginda bahawa peluang kedua yang diberikan kepadanya telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Baginda menzahirkan rasa syukur dan sukacita atas kejayaan Malik menerbitkan sebuah buku yang merakamkan perjalanan hidupnya sebelum, semasa dan selepas menjalani hukuman di penjara.
“Beta turut berasa sukacita kerana telah membuat keputusan untuk memberikan pengampunan dan membebaskan Malik setelah mempertimbangkan segala faktor dengan sebaik-baiknya. Perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Malik hari ini meyakinkan beta bahawa peluang kedua yang diberikan telah dimanfaatkan dengan baik,” titah baginda ketika berkenan melancarkan buku PhD. Dari Penjara di Pustaka Tun Raja, di sini hari ini.
Buku tersebut turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai buku kisah bagaimana Malik, 39, menulis PhD di dalam penjara.
Sultan Sharafuddin menegaskan, seseorang yang pernah tersilap langkah masih mampu mengubah kehidupannya menerusi keinsafan, ilmu dan kesungguhan.
Untuk rekod, Malik dipenjara pada tahun 2001 tahun kerana didapati bersalah membunuh majikannya akibat tertekan dengan penderaan dan eksploitasi kerja. Ketika itu umurnya baharu 14 tahun.
Malik yang menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun tanpa tarikh pembebasan, dibebaskan pada 11 Disember 2024 selepas menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Baginda pada tahun yang sama. – KOSMO! ONLINE
The post Sultan Selangor puji Malik manfaat peluang kedua, pengampunan sebaiknya appeared first on Kosmo Online.






