Sultan Sharafuddin titip renungan isu rasuah, politik kekayaan

LocalPolitics
7 May 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Sharafuddin titip renungan isu rasuah, politik kekayaan
Sultan Selangor, berkongsi petikan berhubung isu integriti dan rasuah menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Rabu.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkongsi dua petikan berhubung isu integriti dan rasuah menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Rabu.

Menerusi hantaran itu, baginda memaklumkan tertarik dengan petikan daripada bekas Presiden Amerika Syarikat ke-33, Harry S Truman untuk dikongsikan bersama rakyat.

Menurut hantaran berkenaan, petikan itu jika diterjemahkan membawa maksud, 'Tiada seorang pun mampu menjadi kaya melalui politik melainkan dia seorang penyeleweng'.

"Baginda turut berkenan berkongsi satu lagi petikan susulan yang berbunyi 'Jika golongan paling kaya dalam sesebuah masyarakat terdiri daripada ahli politik, maka masyarakat itu pada asasnya telah dirosakkan oleh rasuah'," menurut kenyataan berkenaan.

Hantaran yang disertakan lagu latar Apokalips oleh M Nasir diakhiri dengan pesanan berbentuk renungan kepada masyarakat dengan harapan ia memberi manfaat kepada semua.

Bagaimanapun Sultan Sharafuddin tidak memperincikan kepada siapa petikan itu ditujukan.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor menyangkal dakwaan segelintir pemimpin politik yang mendakwa titah Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Dewan Diraja Selangor menegaskan titah baginda sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini.