
PETALING JAYA: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selamat menjalani rawatan dan kini sedang berehat.
Ia dimaklumkan menerusi kenyataan Dato’ Pengelola Bijaya DirajaPejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu hari ini.
Katanya, Sultan Mizan turut menzahirkan penghargaan, perasaan terharu dan ucapan terima kasih kepada Baginda serta keluarga kepada semua masjid, surau, institusi tahfiz, para alim ulama, pemimpin masyarakat, badan organisasi, individu serta seluruh lapisan rakyat yang mendoakan dan melaksanakan solat hajat serta bacaan Yasin untuk Baginda.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menzahirkan ucapan penghargaan dan perasaan terharu serta terima kasih Baginda serta keluarga kepada semua masjid, surau, institusi tahfiz, alim ulama, pemimpin masyarakat, badan organisasi, individu serta seluruh lapisan rakyat yang telah mendoakan dan melaksanakan solat hajat serta bacaan Yasin.
“Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja yang membalasnya,” menurut kenyataan itu.
Pejabat berkenaan turut mendoakan agar Allah Subhanahu Wa Ta’ala terus mengurniakan kesihatan yang baik dan berpanjangan kepada Sultan Terengganu serta mempermudahkan segala urusan Baginda.
Sebelum ini, Sultan Mizan Zainal Abidin dimaklumkan berada dalam keadaan sihat serta baik dan meneruskan rawatan susulan, sebagaimana dijadualkan oleh pasukan perubatan Baginda di luar negara.- UTUSAN
The post Sultan Terengganu selamat jalani rawatan, sedang berehat appeared first on Utusan Malaysia.






