
PRESIDEN Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan sedia mempertimbangkan peluang untuk merebut jawatan Presiden Persekutuan Sepak Taktaw Antarabangsa (ISTAF) pada masa hadapan.
Meskipun tidak menolak kemungkinan itu, namun beliau juga perlu mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk komitmen serta tanggungjawab besar yang akan digalas sekiranya dipilih memimpin badan induk berkenaan.
Sumali berkata, beliau perlu membuat penilaian berhubung kesesuaian serta kemampuan untuk memberikan komitmen sebelum memutuskan bertanding bagi merebut jawatan Presiden, Timbalan Presiden ataupun Naib Presiden ISTAF.
“Sekiranya saya ada banyak masa dan tidak ada komitmen lain, mungkin saya tidak akan berfikir panjang untuk bertanding jawatan Presiden ISTAF, tetapi saya ada tanggungjawab yang memerlukan masa, tenaga dan pengorbanan.
“Oleh itu, saya perlu fikir terlebih dahulu mengenai jawatan, manakah yang paling sesuai dengan kemampuan serta komitmen saya ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan betapa pentingnya untuk Malaysia memiliki wakil dalam ISTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi memastikan suara Malaysia didengari bagi menentukan hala tuju sukan itu.
Menurut Sumali, Malaysia perlu ada dalam badan induk berkenaan bagi membawa penambahbaikan termasuk dari segi teknikal, kejohanan serta perancangan jangka panjang seperti usaha membawa sepak takraw ke Sukan Olimpik.
“Kita tidak mahu hanya bercakap di luar, tetapi tidak mempunyai suara dalam badan induk itu. Jika mahu menyuarakan cadangan atau memperjuangkan sesuatu, kita perlu berada dalam organisasi tersebut.
“Itulah pentingnya untuk Malaysia mempunyai wakil dalam ASTAF dan ISTAF supaya kita dapat membawa perubahan yang baik kepada sukan sepak takraw ini,” ujarnya yang baru sahaja menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden ASTAF.
The post Sumali mahu fikir lebih dahulu appeared first on Kosmo Online.






