
DARI arah Sungai Johor, pada kedudukan kira-kira 50 meter dari tebing, tersergam sebuah banglo berusia lebih 90 tahun yang dibina pada 1933.
Hari ini, struktur lama dengan seni bina kolonial British itu masih kekal berdiri, malah menjadi nadi kepada sebuah destinasi ekopelancongan milik Johor Plantations Group Berhad (JPG) di Ladang Basir Ismail, dekat Kota Tinggi, Johor.
Destinasi tersebut dikenali sebagai SUNJER iaitu singkatan kepada Sungai Johor Eco Retreat. Nama itu bukan sahaja menjadi identiti kepada lokasi berkenaan, malah sebutannya yang hampir menyerupai perkataan ‘senja’ turut menggambarkan suasana persekitarannya yang tenang dan mendamaikan.
Gabungan keindahan alam semula jadi dengan panorama Sungai Johor menjadikan setiap detik di SUNJER sebagai pengalaman yang menenangkan dan sukar dilupakan, terutama ketika menjelang waktu senja.
Di sebalik peranannya sebagai lokasi penginapan dan penganjuran pelbagai program, SUNJER sebenarnya merupakan manifestasi kejayaan usaha pemuliharaan sebuah bangunan warisan.
Bangunan berkenaan melalui pelbagai fasa perubahan fungsi sebelum diberi nafas baharu sebagai destinasi yang bukan sahaja mengekalkan nilai sejarahnya, malah memenuhi keperluan generasi masa kini.
Warisan 1933 terus dipelihara
Mengimbau kembali era 1930-an, Ladang Basir Ismail dahulunya dikenali sebagai Nam Heng Estate, sebuah ladang komersial seluas kira-kira 3,400 hektar.
Di kawasan ladang itu, terdapat sebuah banglo berhampiran tebing Sungai Johor. Pembinaannya dilakukan ketika Sungai Johor menjadi antara laluan perhubungan penting sebelum berkembangnya rangkaian jalan raya moden.
Banglo tersebut pada asalnya menjadi kediaman rasmi pengurus ladang dan diduduki oleh beberapa generasi pengurus sehingga 1988.
Bangunan itu menampilkan ciri seni bina kolonial British dengan ruang dalaman yang luas, anjung serta sistem pengudaraan semula jadi. Struktur asalnya termasuk bingkai tingkap, pintu dan tangga yang diperbuat daripada kayu cengal masih dipelihara dengan baik sehingga hari ini.
Selepas 1988, banglo itu dijadikan rumah kelab Nam Heng Golf Club selama kira-kira 10 tahun.
Pada 2008, pengubahsuaian dilakukan bagi menjadikannya Akademi Pembangunan Intrapreneur yang menganjurkan pelbagai majlis dan kursus latihan dalaman jangka pendek.
Banglo itu kemudian dipulihara dan diberi nafas baharu sebagai Kulim Eco Trail Retreat (KETR), sebelum dijenamakan semula sebagai SUNJER pada akhir 2023.
Pusat ekopelancongan ini mula beroperasi pada Februari 2014 dengan menawarkan pengalaman yang menggabungkan penginapan, latihan, rekreasi dan alam semula jadi.
Pemuliharaan banglo bersejarah berkenaan menjadi asas kepada pembangunan SUNJER. Fasiliti moden disepadukan secara berhati-hati dengan struktur sedia ada supaya identiti serta ciri seni bina asalnya terus dikekalkan.
Usaha itu mencerminkan komitmen JPG dalam memanfaatkan semula aset warisan secara lestari dan bertanggungjawab.

Pelbagai pengalaman dan tarikan
SUNJER menawarkan kemudahan lengkap untuk penginapan dan penganjuran program.
Kemudahan itu termasuk 32 bilik penginapan, sebuah banglo eksekutif, empat bilik latihan, sebuah dewan utama yang mampu menampung sehingga 200 orang serta tapak perkhemahan untuk pelanggan yang berjiwa kembara.
Kelengkapan tersebut menjadikan SUNJER sebagai lokasi sesuai untuk pelbagai program latihan korporat, kem bina semangat, hari keluarga serta aktiviti pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Antara tarikan utama SUNJER ialah gabungan aktiviti yang ditawarkan bersama bangunan bersejarah, landskap ladang, Sungai Johor dan padang golf.
Kedudukannya bersebelahan Nam Heng Country Club yang menawarkan lapangan golf sembilan lubang dan persekitaran menghijau turut melengkapkan pengalaman pengunjung.
Aktiviti yang ditawarkan di SUNJER termasuk cabaran memandu kenderaan lasak ATV, berbasikal, memanah, sukan rakyat, aktiviti pembangunan pasukan, lawatan ke ladang serta sesi fotografi berlatarbelakangkan panorama indah di jeti.
Perkhidmatan bot yang disediakan pula memberi peluang kepada pengunjung menyusuri Sungai Johor sambil berinteraksi dengan alam dan komuniti nelayan setempat.
Melalui pengalaman itu, pengunjung dapat mengetahui lebih dekat mengenai fenomena pasang surut, habitat semula jadi serta kehidupan masyarakat yang bergantung kepada sungai.
SUNJER turut menjadi perhatian sebagai lokasi penganjuran program tempatan dan antarabangsa.
Kawasan sekitarnya menawarkan laluan semula jadi yang sesuai untuk aktiviti lasak seperti larian denai. Antara acara yang pernah dianjurkan ialah JB10K Trail Run pada Mei 2024 dan Green Fun Run pada Oktober 2025.
Cabaran laluan dan denai itu akan terus diketengahkan menerusi Trail Fun Run yang dijangka dianjurkan pada Oktober 2026.

Komuniti berkembang bersama pelancongan
SUNJER juga menjadi penghubung antara pengunjung dengan komuniti tempatan.
Penduduk kampung sekitar turut terlibat dalam penyediaan makanan, perkhidmatan bot, pemasangan khemah, pengurusan acara dan sokongan operasi.
Sarapan tradisional seperti lempeng yang dihidangkan bersama sambal hijau serta kelazatan masakan kampung sering mendapat pujian daripada pengunjung.
Sepanjang Ramadan pula, SUNJER menganjurkan bufet berbuka puasa berkonsepkan masakan kampung, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha makanan tempatan untuk menjana pendapatan.
Melalui SUNJER, JPG akan bekerjasama dengan pengusaha pertanian dan pengendali agropelancongan tempatan bagi membangunkan pakej agropelancongan yang disepadukan dengan aktiviti sedia ada.
Inisiatif itu bukan sahaja memperluaskan pengalaman pengunjung, malah menawarkan lebih banyak peluang ekonomi untuk disertai komuniti setempat.
Ketua Pegawai Sumber Manusia JPG, Amran Zakaria berkata, SUNJER dibangunkan dengan memanfaatkan warisan dan keindahan alam secara bertanggungjawab sambil memastikan masyarakat setempat turut mendapat manfaat.
“SUNJER bukan sekadar destinasi untuk berehat dan menikmati keindahan Sungai Johor, tetapi juga ruang yang menghubungkan warisan, alam semula jadi dan komuniti.
“Melalui pemuliharaan bangunan bersejarah serta penglibatan penduduk setempat, kami mahu memastikan pembangunan SUNJER membuka peluang ekonomi selain memberi manfaat kepada masyarakat sekitar,” katanya.
Ringkasnya, di SUNJER, pengunjung bukan sahaja dapat meneroka dan menikmati alam semula jadi, malah berpeluang mengenali sejarah banglo 1933 sambil menyokong ekonomi komuniti setempat.
Inilah nilai yang mahu terus dihidupkan oleh JPG menerusi pembangunan SUNJER sebagai destinasi ekopelancongan yang menggabungkan warisan, alam dan masyarakat.
The post SUNJER himpun warisan, alam semula jadi dan komuniti appeared first on Utusan Malaysia.






