
PETALING JAYA: Pelawak dan pelawak, Zizan Razak, menegaskan dia tidak mahu lagi berdiam diri berhubung trend penyuntingan wajahnya di aplikasi Threads yang disifatkan semakin melampaui batas apabila ia mula menyentuh sensitiviti agama.
Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 42, berkata, dia ada menerima mesej peribadi (DM) daripada pengguna media sosial yang membuat permohonan maaf kepadanya.
“Ada orang DM minta maaf dan saya ada baca, cuma untuk balas belum sempat lagi sebab sibuk. Tetapi baguslah yang minta maaf itu. Tetapi mereka yang tidak minta maaf itu saya pun tidak tahu kenapa.
“Bagi mereka yang seronok membuat gambar saya sedemikian, berpada-padalah. Kalau saya nak marah, dah lama saya marah.
“Kalau perkara itu boleh buat Malaysia tersenyum, tidak salah pun. Cuma yang mengambil kesempatan itu saya rasa tidak manis,” katanya.
Zizan berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem terbaharu lakonannya, Terbang di Carfe, di sini, malam tadi.
Bercerita mengenai fotonya yang mula tular untuk dijadikan bahan ‘meme’ di Threads, Zizan berkata, pada awalnya dia tidak mengetahui trend perbuatan menyunting wajahnya itu.
“Sejujurnya bila perkara itu tular, saya tidak faham lagi bila orang DM saya tanya dah tengok di Threads ke belum.
“Bila saya tengok di Threads, makin lama makin banyak muka saya dan orang dah mula tukar-tukar gambar saya itu. Sejujurnya saya okay, saya gelak dan happy sebab saya rasa mereka sangat kreatif serta kelakar.
“Tetapi bila dah mula tukar gambar saya jadi perempuan, saya rasa ada batasnya sebab saya kerja dalam bidang ini dan terlibat dengan televisyen.
“Dulu saya pernah memakai pakaian perempuan, bukan saya tidak pernah buat. Tetapi bila makin besar dan matang, kita juga diberitahu perbuatan berpakaian menyerupai perempuan itu haram.
“Ada juga yang sunting gambar saya jadi Nun (birawati). Nun (birawati) ini bukan agama kita dan kita dah melanggar agama Islam. Bagi saya, perbuatan itu dah cukup melampau,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Bawaku Pergi ini turut menegur tindakan syarikat perniagaan yang sewenang-wenangnya menggunakan wajahnya untuk tujuan pemasaran produk tanpa kebenaran.
“Saya nampak peniaga-peniaga kecil guna gambar saya, lepas itu bila syarikat-syarikat besar dah guna gambar saya, saya tidak mahu ia jadi seperti kes Datuk M Nasir yang dah mula saman dan sebagainya. Ia sesuatu perkara yang tidak bagus.
“Sebab itu saya keluarkan kenyataan. Bukan kata marah, tetapi saya berlaku tegas dalam senyuman sebab ini melibatkan agama kita.
“Contohnya kalau saya pakai kereta awak tanpa beritahu, mestilah tidak baik kan? Saya rasa benda tu memang sesuatu perkara yang haram,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya isu penyuntingan gambarnya berterusan, Zizan berkata dia masih menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang waras.
“Saya masih lagi waras. Tetapi kalau betul saya nak ambil untung ke atas saman yang akan melibatkan kos dan merosakkan hubungan serta reputasi perniagaan, lebih baik saya beri peringatan secara terbuka supaya semua boleh faham sendiri.
“Ini bukan kali pertama berlaku. Sebelum ini pernah ada syarikat judi dan scammer (penyangak) guna muka saya. Ada juga netizen DM tanya betul ke saya pakai baju itu atau itu jenama saya. Tetapi bila perkara ini berlaku, lagi ramai yang ambil kesempatan,” katanya.
Terdahulu, Zizan menjadi perhatian di platform Threads apabila fotonya dijadikan ‘meme’ oleh warga maya.
Imej pelawak itu disunting secara kreatif menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai gaya sebelum dimuat naik bersama kapsyen ringkas sehingga tular.
The post Sunting gambar saya jadi ‘Nun’ ini sudah melampau, saya tidak mahu jadi kes macam Datuk M. Nasir hari itu – Zizan Razak appeared first on Utusan Malaysia.






