Sunview terima tambahan pinjaman Bank Rakyat kepada RM190.5 juta bagi pembiayaan loji solar 50MW di Pekan, Pahang

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunview terima tambahan pinjaman Bank Rakyat kepada RM190.5 juta bagi pembiayaan loji solar 50MW di Pekan, Pahang Image from: Sunview terima tambahan pinjaman Bank Rakyat kepada RM190.5 juta bagi pembiayaan loji solar 50MW di Pekan, Pahang hamden04/11/2026 - 17:57 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - Sunview Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, SAM 2 Sdn Bhd, memperoleh tambahan kemudahan perbankan daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman kepada RM190.5 juta daripada RM170 juta sebelum ini.

 

Sunview dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, SAM 2 menerima Surat Tawaran Tambahan Pertama bertarikh 2 Oktober 2026 daripada Bank Rakyat pada 4 November 2026, susulan kemudahan perbankan yang diumumkan pada 25 Mac 2026.

 

Peningkatan sebanyak RM20.5 juta itu bertujuan menyokong pembiayaan pengambilalihan dan penyiapan loji solar fotovolta (PV) berkapasiti 50 megawatt (MW) di Mukim Pekan, Daerah Pekan, Pahang, selain kos pemasangan serta integrasi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

 

Berdasarkan terma kemudahan yang disemak semula, jumlah pembiayaan berjangka-i 1 (TF-i 1) dikekalkan pada RM63 juta, manakala kemudahan surat kredit-i (LC-i)/pembiayaan berjangka-i 2 (TF-i 2) berjumlah RM62 juta dengan had saling boleh tukar.

 

Kemudahan LC-i/TF-i 3 pula diperkenalkan dengan had sebanyak RM40.5 juta, manakala jaminan bank-i (BG-i) dikurangkan sebanyak RM20 juta kepada RM25 juta daripada RM45 juta sebelum ini.

 

"Secara keseluruhan, perubahan itu meningkatkan had agregat kemudahan perbankan sebanyak RM20.5 juta kepada RM190.5 juta," kata kenyataan itu.

 

Kaedah penggunaan

Bagi tujuan penggunaannya, TF-i 1 berjumlah RM63 juta akan membiayai sehingga 90% daripada harga tender SAM 2 atau RM63 juta, mengikut mana-mana yang lebih rendah, bagi pengambilalihan loji solar 50MW daripada PKNP Reneuco Suria Sdn Bhd.

 

Sementara itu, kemudahan LC-i/TF-i 2 berjumlah RM62 juta akan digunakan bagi penerbitan surat kredit domestik dan luar negara untuk pembelian serta pengimportan barangan berkaitan perniagaan.

 

Di bawah komponen TF-i 2, pembiayaan sehingga RM62 juta atau 85.57% daripada kos pembinaan akan digunakan bagi menyiapkan sepenuhnya loji solar berkenaan, mengikut mana-mana jumlah yang lebih rendah.

 

Kemudahan LC-i/TF-i 3 berjumlah RM40.5 juta pula akan menyokong penerbitan surat kredit bagi urusan pembelian dan pengimportan barangan, manakala komponen TF-i 3 akan membiayai sehingga RM40.5 juta atau 78.17% daripada kos pemasangan serta integrasi BESS bagi projek LSS4 Pekan di bawah mekanisme Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

 

Selain itu, kemudahan BG-i berjumlah RM25 juta akan digunakan bagi penerbitan jaminan pelaksanaan yang memihak kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Tempoh pembiayaan

Dari segi tempoh pembiayaan, TF-i 1, TF-i 2 dan TF-i 3 masing-masing mempunyai tempoh selama 15 tahun atau 180 bulan, termasuk tempoh tangguh selama 24 bulan bermula daripada tarikh pengeluaran pertama kemudahan.

 

Bagaimanapun, kemudahan berkenaan tertakluk kepada semakan tahunan oleh Bank Rakyat.

 

Bagi kemudahan LC-i, tempoh pembayaran bertangguh ditetapkan sehingga 180 hari, manakala tempoh jaminan BG-i akan mengikut tempoh kontrak atau dokumen berkaitan serta tarikh luput yang ditetapkan oleh penerima manfaat.

 

Sunview berkata, penerimaan tawaran tambahan itu tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan syarikat serta pegangan saham pemegang saham utamanya kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham biasa baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved