hamden04/11/2026 - 17:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Sapura Industrial Berhad (SIB) memperoleh kontrak dianggarkan bernilai RM307 juta daripada Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery) bagi pemasangan sistem gandar hadapan dan belakang untuk beberapa program kenderaan pengeluar automotif dari China itu.
Kontrak selama empat setengah tahun berkenaan menandakan penglibatan langsung pertama SIB dengan Chery, sekali gus menjadi langkah penting dalam usaha Kumpulan mempelbagaikan portfolio pelanggan serta mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan automotif tempatan.
SIB menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sapura Machining Corporation Sdn Bhd (SMC), memeterai Perjanjian Pembelian Induk dengan Chery bagi melaksanakan kerja pemasangan sistem gandar untuk platform kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV).
Skop program itu merangkumi model JAECOO J5 serta kenderaan di bawah jenama LEPAS.
Projek berkenaan akan dilaksanakan di kemudahan baharu SIB di Bukit Beruntung, Selangor, sekali gus memperkukuh kehadiran kumpulan itu di salah satu hab automotif utama negara.
Pengarah Urusan SIB, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin berkata, kerjasama itu mencerminkan keyakinan pengeluar automotif global terhadap keupayaan rantaian bekalan automotif Malaysia serta kepakaran teknikal, kekuatan operasi dan piawaian kualiti rakan kongsi tempatan.
Pemesinan berketepatan tinggi
Beliau berkata, dengan pengalaman lebih empat dekad dalam sektor automotif, SIB mempunyai keupayaan dalam bidang pemesinan berketepatan tinggi, sistem suspensi, pemasangan automotif dan pembuatan termaju.
Kepakaran kejuruteraan, piawaian kualiti dan keupayaan pembuatan itu membolehkan SIB menyokong pengeluar automotif global yang mengembangkan operasi serta rangkaian rantaian bekalan mereka di Malaysia.
Sementara itu, Naib Presiden Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd, Cheng Namweng berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam aspirasi pengembangan serantau Chery, dengan rakan kongsi tempatan yang berkeupayaan menjadi elemen utama strateginya.
Menurutnya, kerjasama dengan SIB mencerminkan komitmen itu dan menyokong perancangan jangka panjang Chery di Malaysia.
"Kerjasama berkenaan melengkapi pelaburan berterusan Chery dalam kapasiti pembuatan tempatan dan pembangunan pembekal ketika syarikat itu mengembangkan operasinya di Malaysia serta rantau ASEAN," katanya. - DagangNews.com






