liza04/11/2026 - 14:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Velesto Energy Berhad memperoleh kontrak daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan pelantar NAGA 3 untuk menjalankan operasi penggerudian minyak dan gas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak itu dianugerahkan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn Bhd yang akan menyediakan dan mengendalikan pelantar berkenaan bagi pihak PETRONAS Carigali.
“Skop kontrak meliputi penggerudian satu telaga yang telah disahkan serta satu lagi telaga pilihan dengan operasi dijadualkan bermula pada November 2026.
“Pelaksanaan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak, bermula suku keempat 2026,” katanya.
Tambah aktiviti penggerudian di Malaysia
Sementara itu, Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata kontrak berkenaan menambah aktiviti penggerudian kumpulan yang telah diperoleh di Malaysia selain memberikan keterlihatan hasil dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, pelantikan itu turut menyokong peningkatan penggunaan pelantar NAGA 3 serta membolehkan kumpulan menjana pulangan komersial daripada aset berkenaan.
“Velesto komited untuk bekerjasama dengan PETRONAS Carigali bagi memastikan operasi penggerudian dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan, kebolehpercayaan dan prestasi operasi yang ditetapkan,” katanya.
NAGA 3 mampu menggerudi sehingga 30,000 kaki
NAGA 3 merupakan pelantar penggerudian jenis ‘jack-up’ yang dilengkapi kaki sokongan bebas dengan keupayaan menggerudi sehingga kedalaman 30,000 kaki.
Pelantar itu turut mempunyai penarafan operasi di kawasan laut dengan kedalaman air sehingga 350 kaki.
Velesto Drilling Sdn Bhd, yang diperbadankan pada 29 Julai 2003, terlibat terutamanya dalam operasi penggerudian luar pesisir serta perkhidmatan kejuruteraan lain bagi aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia serta luar negara. - DagangNews.com






