Sunway Construction: Siasatan SPRM hanya terhadap seorang bekas pekerja

19/08/2025 - 14:22
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Sunway Construction Group Berhad mengesahkan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilancarkan pada Julai lalu hanya tertumpu kepada salah laku peribadi seorang bekas pekerja.
Kumpula itu berkata, siasatan tersebut tidak melibatkan syarikat mahupun anak-anak syarikatnya.
Penjelasan itu dibuat susulan penerimaan sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 18 Ogos 2025, yang mengesahkan syarikat itu tidak disiasat di bawah mana-mana peruntukan Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 17A.
Syarikat itu menyifatkan perkara berkenaan sebagai satu insiden terpencil.
Pekerja yang terbabit telah ditamatkan perkhidmatannya dan kini sedang disiasat lanjut oleh pihak berkuasa.
"Syarikat juga telah memulakan audit dan semakan menyeluruh terhadap prosedur tender bagi mengenal pasti serta menangani sebarang kelemahan dalam proses dalaman di seluruh operasinya," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Sunway Construction, Liew Kok Wing berkata, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat memperkukuh kawalan dalaman dan mencegah sebarang salah laku melibatkan pekerja atau subkontraktor.
"Kami menegaskan semula komitmen terhadap tahap ketelusan, tadbir urus dan pematuhan yang tertinggi," katanya.
Kok Wing berkata, syarikat meningkatkan kawalan dalaman susulan semakan SPRM, bagi memastikan pelaksanaan projek tidak terjejas. - DagangNews.com
standard

