hamden22/10/2026 - 09:36 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH) menyasarkan pembinaan Sunway Medical Centre Putrajaya, hospital tertiari pelbagai kepakaran berkapasiti 325 katil, bermula pada suku keempat 2027, dengan projek itu dijangka siap pada 2031.
BIMB Securities berkata, projek berkenaan dibangunkan menerusi usaha sama 60:40 antara anak syarikat milik penuh SHH, Sunway Healthcare Ventures Sdn Bhd dan Tapak Senja Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Putrajaya Holdings (PjH).
Hospital yang terletak bersebelahan Putrajaya Sentral itu akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 2.5 ekar di Presint 7, yang akan diperoleh menerusi usaha sama berkenaan pada harga RM40 juta.
Perjanjian usaha sama itu turut merangkumi opsyen jual (put option) dan opsyen beli (call option) yang secara umumnya boleh dilaksanakan mulai tahun ketiga selepas tempoh pajakan hospital bermula.
"Menerusi mekanisme itu, SHH mempunyai pilihan untuk mengambil alih pegangan 40% milik PjH dalam usaha sama berkenaan, manakala PjH juga boleh menghendaki SHH membeli pegangan tersebut.
"Penilaian bagi pengambilalihan itu secara umumnya akan ditentukan berdasarkan nilai yang lebih tinggi antara nilai yang dikira berdasarkan kadar pulangan dalaman (IRR) projek yang dipersetujui atau penilaian hartanah pasaran, dengan mengambil kira kedudukan kewangan usaha sama berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kadar sewa tahunan
Di bawah struktur yang dipersetujui, usaha sama itu akan memiliki dan membangunkan hospital sebelum menyewakannya kepada anak syarikat operasi SHH menerusi perjanjian pajakan bersih tiga kali ganda (triple-net lease) selama 15 tahun.
Kadar sewa tahunan permulaan ditetapkan pada 5.5% daripada kos pembangunan kasar, dengan kenaikan tahunan 2.5% dari ulang tahun pajakan kedua hingga kelima.
Mulai tahun keenam, kadar sewa akan disemak berdasarkan pasaran, tertakluk kepada had kenaikan 2.5%.
Berdasarkan anggaran kos pembangunan RM500 juta, sewa tahunan berpotensi mencecah RM27.5 juta atau kira-kira RM2.3 juta sebulan sebelum mengambil kira kenaikan sewa.
Usaha sama itu menyasarkan nisbah pembiayaan hutang kepada ekuiti sebanyak 60:40.
Sementara itu, BIMB Securities mengekalkan saranan HOLD terhadap SHH dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.90.
Menurut firma itu, usaha sama berkenaan dilihat positif kerana mengukuhkan kehadiran SHH di Putrajaya dan selatan Lembah Klang, selain membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran pembangunan PjH serta berkongsi keperluan modal awal.
Bagaimanapun, projek itu telah pun dimasukkan dalam perancangan pengembangan SHH, manakala sumbangan ketara kepada pendapatan kumpulan tidak dijangka sebelum 2031.
Justeru, penganalisis tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan SHH.
Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk lebihan kos pembinaan, peningkatan jumlah pesakit yang lebih perlahan daripada jangkaan, cabaran mendapatkan pakar perubatan serta kemungkinan keperluan pembiayaan lebih tinggi sekiranya opsyen jual dilaksanakan. - DagangNews.com






