sarah05/11/2026 - 14:19 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Zetrix AI Berhad dan China Academy of Information and Communications Technology (CAICT) melancarkan sistem Know Your Agent (KYA) bagi mengesahkan identiti ejen kecerdasan buatan (AI) serta mengawal akses dan transaksi digital yang dijalankan tanpa campur tangan langsung manusia.
Sistem itu membolehkan setiap ejen AI mempunyai identiti digital yang boleh disahkan, selain mengenal pasti pihak bertanggungjawab dan menetapkan had kuasa, termasuk jumlah wang yang dibenarkan untuk dibelanjakan.
Zetrix AI berkata, pelancaran KYA diumumkan serentak pada Persidangan Internet Dunia di Wuzhen, China dan Forum Pembangunan ICT 2026 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi meningkatkan keselamatan dan akauntabiliti penggunaan AI dalam perniagaan serta perkhidmatan kerajaan.
Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, Wong Thean Soon (TS Wong) berkata, penggunaan ejen AI yang semakin bebas membuat keputusan dan melaksanakan transaksi memerlukan mekanisme pengesahan identiti serta kawalan yang jelas.
“Persoalannya bukan lagi sekadar apa yang boleh dilakukan oleh AI, tetapi siapa yang bertanggungjawab terhadap tindakannya. Melalui KYA, kami berusaha memastikan setiap ejen AI dapat dikenal pasti, setiap kebenaran dapat disahkan dan setiap tindakan dapat dijejaki kepada pemilik yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai contoh, syarikat boleh membenarkan ejen AI membuat pembayaran kepada pembekal dalam had tertentu, manakala transaksi melebihi jumlah ditetapkan memerlukan kelulusan manusia. Kebenaran itu juga boleh ditarik balik dan setiap aktiviti direkodkan untuk tujuan audit.
Ketua Jabatan Antarabangsa ASTRON Network, CAICT, Xiaoyu You berkata, keperluan terhadap perkhidmatan pengesahan identiti ejen AI dijangka meningkat apabila teknologi itu mengambil alih lebih banyak tanggungjawab, dengan kerjasama tersebut diharap dapat menyokong pembentukan rangkaian AI yang dipercayai merentas negara.
Zetrix AI dan CAICT turut merancang projek perintis rentas sempadan melibatkan organisasi di Timur Tengah, Afrika, China dan ASEAN, tertakluk kepada pengesahan penyertaan, bagi menguji penggunaan identiti AI dalam perdagangan antarabangsa, pembayaran digital dan perkhidmatan kerajaan.
Hasil projek perintis itu akan dikemukakan untuk pertimbangan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan badan pembangunan piawaian lain, termasuk IEEE, sebagai sumbangan kepada usaha membangunkan piawaian antarabangsa berkaitan identiti serta akauntabiliti ejen AI.- DagangNews.com






