
KUALA LUMPUR - EQUANIMITY, kapal layar mewah sepanjang 91.5 meter yang pernah dimiliki ahli perniagaan buruan, Jho Low, dan menjadi antara aset utama dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini diberi nafas baharu sebagai kapal sokongan dan penyelidikan berteknologi tinggi dikenali sebagai Draak.
Kapal layar itu disita pihak berkuasa Malaysia pada 2018 sebelum dijual pada tahun berikutnya kepada sebuah unit di bawah Kumpulan Genting dengan harga jauh lebih rendah daripada nilai asal.
Selepas penjualan tersebut, ia dijenamakan semula sebagai Tranquility dan ditawarkan untuk sewaan eksklusif pada kadar mencecah AS$1.25 juta (RM5.47 juta) seminggu.
Menurut laporan portal luxurylaunches.com, pemilik semasa kapal berkenaan, pengasas Valve dan tokoh terkenal industri permainan video, Gabe Newell melakukan pengubahsuaian besar-besaran terhadap kapal itu.
Segala fasiliti mewah seperti kolam renang dan spa diganti kepada ruang penyahmampatan serta kren berat bagi tujuan operasi dan penyelidikan.
Laporan terbabit turut menyebut, kapal berkenaan kini sedang menjalani ujian pelayaran penting sebagai sebahagian daripada proses transformasinya.
Dahulu terkenal sebagai simbol gaya hidup mewah dan eksklusif, Draak kini berfungsi sebagai kapal operasi khusus bagi menyokong kapal utama Oceanco milik Newell sepanjang 111 meter, Leviathan.
Hampir keseluruhan pengubahsuaian yang dilakukan tertumpu kepada keupayaan sokongan ekspedisi, operasi selaman, logistik marin serta fungsi operasi jangka panjang di laut.
Kapal berkenaan juga mampu membawa kru tambahan, pasukan penyelam, bot tender, pakar teknikal serta pelbagai peralatan operasi, selain mengendalikan tugasan berat dan operasi berulang tanpa mengganggu aktiviti di atas Leviathan.
Selain itu, Draak berupaya melaksanakan operasi selaman lebih awal sebelum ketibaan kapal utama, memindahkan peralatan antara lokasi, membantu operasi penyelamatan penyelam, menyediakan penginapan tambahan serta mengurangkan kesesakan operasi di kapal utama.
Sebelum ini, Newell pernah menyatakan bahawa kapal layar mempunyai potensi besar sebagai platform penyelidikan saintifik, dan transformasi Draak dilihat sebagai manifestasi nyata terhadap visi tersebut. - Getaran, 19 Mei 2026





.jpg)