
PEMERGIAN seorang doktor perubatan, Dr Aimanuddin Roslan tular menjentik hati warganet.
Menerusi catatan pengguna Facebook, Muhammad Rauf Fathi yang merupakan kenalannya, doktor yang bertugas di sebuah klinik swasta terkenal itu meninggal dunia selepas mengendalikan sesi selawat persatuan doktor Muslim di sebuah surau di Kamunting, Taiping, Perak.
"Dr Aiman, Klinik Dr Rosli. Saya bukanlah individu yang akrab mahupun rapat namun, dia saya kenal sebagai ahli khidmat yang disenangi sekalian guru dan para masyaikh, para asatizah yang dikhidmatinya," ujarnya.
Ketika tiba di Hospital Taiping, keluarga, isterinya termasuk rakan-rakan Allahyarham yang semuanya doktor memenuhi Jabatan Forensik.
"Saat selepas ahli keluarga dibenarkan masuk melihat jasad Dr Aiman, saya masuk. Kaku! Momen itu saya ingat. Air mata saya jatuh," kongsinya.
Menurut Muhammad Rauf, pemergian Dr Aiman penuh kemuliaan dan berlaku di Surau Kampung Rahmad, Kamunting Perak.

"Beberapa jam malam sebelum pemergian, Allahyarham sempat mengendalikan sesi Selawat bagi slot Jom Recharge Diri Persatuan Doktor Islam Malaysia dengan Haven Academy.
"Selepas van jenazah bergerak dari Taiping ke Shah Alam saya fikir ceritanya selesai, namun ALLAH SWT Maha Adil sangat baik dan penyayang.
"DIA tidak perlu tunggu lama untuk balas segala kebaikan dan kerja buat amal soleh kita.
"Satu demi satu semua kebaikan Dr Aiman terbongkar. Bermula dengan kehadiran jumlah jemaah yang luar biasa ramai, anak soleh menjadi imam kepada solat jenazahnya, alunan zikir dan selawat penuh kesyahduan lagi mengasyikkan, ucapan akhir anak yang menyentuh rasa jiwa.
"Kisah-kisah kebaikannya daripada rakan taulan termasuklah jurubekam yang menerima bayaran sumbangan luar biasa. Belum lagi titipan doa dan mesej khas dari seorang pembimbing sufi, Syaikh Ahmad Kamel yang menulis "I am so sad, he was a very good man," kongsinya.
Dalam pada itu, tular di laman sosial video memaparkan
anak sulung Allahyarham Dr Aiman, Mashary Zidane yang berusia 14 tahun mengimamkan solat jenazah sambil memimpin bacaan solat dan zikir di Surau Ar Rahmah, Seksyen 8, Shah Alam.

Sebaik sahaja jenazah Allahyarham selesai dikebumikan, remaja lelaki itu dilihat tenang membacakan talkin di hadapan ahli keluarga dan jemaah yang hadir sehingga mengundang suasana hiba dalam kalangan orang ramai.
Di dalam talkinnya, Mashary berkata, bapanya meninggalkan segala-galanya kecuali amalan sebagai bekalan di akhirat sana.
“Arwah Aimanuddin bin Roslan hari ini telah meninggalkan dunia. Dia telah meninggalkan kita. Dia telah meninggalkan cinta dunia dan semua berkaitan dunia kecuali amalannya.
“Mungkin pada esok hari atau hari sedemikian kita juga akan dijemput oleh-NYA.
"Sehingga masa itu tiba, mantapkan amalan kita dengan penuh ikhlas dan kasih sayang.
"Sesungguhnya ayah saya pernah berkata, bila seseorang mati, dia bukanlah mati yang sebenar, dia hanyalah berpindah alam. Saya berharap kita semua dapat mengambil iktibar daripada peristiwa ini untuk menjadikan kita semua dijemput dengan baik dan masuk syurga Firdaus,” tuturnya.

Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima cahaya mata
Difahamkan isterinya yang juga seorang petugas kesihatan baharu sahaja melahirkan anak pada 6 April lalu dan kini sedang dalam tempoh berpantang.
Menurut perkongsian beberapa rakan di media sosial, Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 38 tahun.
Terdahulu, tular beberapa video dan gambar memaparkan keadaan surau dan Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam yang dipenuhi orang ramai hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Perkongsian tular itu sekali gus mengundang persoalan dalam kalangan pengguna media sosial yang tertanya-tanya siapakah sebenarnya Allahyarham sehingga pemergiannya begitu dirasai dan diiringi kehadiran luar biasa daripada masyarakat.
Warganet mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.
Rata-rata memuji didikan agama Allahyarham buat anaknya dan berkongsi laman sosial digunakan sebaiknya untuk menyebarkan kebaikan.
“Hasil didikan tauhid sufi ibu ayah pada anak-anak, umur 14 tahun dah boleh imamkan solat jenazah ayah dan memimpin zikir. Allahuakbar."
“Dr Aiman. Sangat baik. Sentiasa sebarkan kebaikan. Tengoklah media sosial Allahyarham, tiada yang tidak baik. Semua tentang kebaikan."
Sumber: Facebook
