
KAJANG – Seorang lelaki tempatan yang menyerang anggota polis menggunakan sebilah pisau di pekarangan Balai Polis Batu 9 Cheras, Sabtu lalu dipercayai mengalami kemurungan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, suspek hadir ke kawasan Balai Polis Batu 9 Cheras seperti mahu membuat laporan polis.
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu kemudian mengeluarkan sebilah pisau dari kotak simpanan motosikal sebelum cuba menikam ke arah bahagian kanan perut anggota polis yang bertugas.
“Serangan itu sempat dielak anggota terbabit, namun mata pisau terkena tali pinggangnya.
“Suspek kemudiannya berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis yang turut membantu menahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, pergelutan itu menyebabkan seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tapak tangan.
“Suspek berusia 54 tahun itu dipercayai mempunyai masalah keluarga dan mengalami kemurungan serta tidak mempunyai pekerjaan,” ujarnya.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang hari ini mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek cuba tikam anggota polis dipercayai alami kemurungan appeared first on Kosmo Online.

![[KEMASKINI] Lelaki 27 rekod jenayah ditahan curi lori hijau](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/photo-output-28-1024x768.jpeg)




