
Semalam, rakaman video memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya ketika cuba melarikan diri daripada polis di sekitar Petaling Jaya, tular menerusi media sosial.
KUALA LUMPUR: Lelaki yang cedera ditembak polis di Petaling Jaya seperti insiden tular semalam, didapati memiliki 10 rekod lampau selain pemeriksaan terhadapnya menemukan dadah dan senjata mainan menyerupai pistol.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata enam daripada rekod suspek berusia lingkungan 30-an itu berkaitan dadah manakala empat lagi membabitkan kes jenayah.
Beliau berkata saringan air kencing belum dapat dijalankan kerana lelaki itu masih menerima rawatan manakala polis sedang menyiasat punca lelaki itu melarikan diri ketika pemeriksaan hendak dilakukan.
Semalam, rakaman video memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya ketika cuba melarikan diri daripada polis di sekitar Petaling Jaya, tular menerusi media sosial.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 6.42 petang, membabitkan kereta peronda dan Proton Wira dari Persiaran Mahogani menghala ke Sungai Buloh.
“Suspek berjaya diberkas di lokasi dan mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis semasa kejadian tersebut. Anggota peronda polis yang terlibat dalam insiden ini juga mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 kanun sama kerana memandu secara melulu atau gopoh dan berbahaya.
“Siasatan selari turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960. Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Beliau berkata permohonan reman terhadap lelaki itu akan dilakukan hari ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya manakaka orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat menerusi media sosial atau membuat spekulasi tidak benar berhubung kejadian itu.
“Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.






