
PETALING JAYA - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau cedera ditembak polis selepas dipercayai melarikan diri daripada pemeriksaan dan memandu secara berbahaya dalam kejadian pada Jumaat.
Suspek yang memandu kereta Proton Wira itu dipercayai merempuh beberapa kenderaan ketika dikejar polis dari Petaling Jaya menghala ke Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.42 petang.
“Suspek memandu secara agresif dan berbahaya serta merempuh kenderaan lain sebelum ditahan di lokasi kejadian.
“Suspek cedera selepas ditembak polis ketika kejadian dan masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan dadah dan empat rekod jenayah lain.
Polis turut merampas dadah serta senjata mainan menyerupai pistol, manakala ujian saringan air kencing belum dapat dijalankan kerana suspek masih menerima rawatan.
Shamsudin berkata, polis sedang menyiasat motif suspek melarikan diri ketika anggota bertugas cuba menjalankan pemeriksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau membahayakan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berkaitan cubaan membunuh, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dijadualkan dibuat di PPUM hari ini.
Sementara itu, beberapa video memaparkan aksi kejar-mengejar antara polis dan suspek tular di media sosial selepas kejadian berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan. - Getaran, 10 September 2026






.jpg)