Suspek langgar mati remaja akan didakwa esok

8 Sep 2026 • 11:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suspek langgar mati remaja akan didakwa esok

JOHOR BAHRU – Seorang suspek utama kes kematian remaja perempuan berusia 17 tahun di Kulai pada 25 Ogos lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai esok atas pertuduhan membunuh.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Selain suspek utama itu, dua lagi suspek akan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.

“Empat suspek pula akan didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ab Rahaman, pertuduhan terhadap suspek di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 426 akan dibuat di Mahkamah Majistret Kulai, manakala pertuduhan di bawah Seksyen 307 akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semuanya esok.

Keseluruhannya, polis telah menahan 21 suspek terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 15 hingga 31 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Johor Bahru, Kulai dan Selangor.

Semakan rekod jenayah lampau mendapati 14 suspek mempunyai rekod jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah.

Dalam kejadian 25 Ogos lalu, mangsa maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah Perodua Myvi sebelum dilanggar sebuah Toyota Vellfire di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai, kira-kira pukul 12.38 tengah malam.

Siasatan polis mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik keahlian antara dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Johor Bahru, namun motif sebenar masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, 14 suspek lagi akan dijadikan saksi pendakwaan dan dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.-KOSMO! ONLINE

The post Suspek langgar mati remaja akan didakwa esok appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved