Enam lelaki termasuk 5 remaja bawah umur didakwa rogol kanak-kanak 15 tahun

8 Sep 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam lelaki termasuk 5 remaja bawah umur didakwa rogol kanak-kanak 15 tahun
Kesemua tertuduh di bawah ke Mahkmah Kangar pada Selasa untuk didakwa.

KANGAR – Seorang lelaki bersama lima remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Kangar pada Selasa atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun dalam kejadian yang didakwa berlaku di sekitar Sanglang pada Julai lalu.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di kawasan Sanglang kira-kira jam 2 pagi pada 18 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dan Zuhair Ahmad Zakuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh turut diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 9 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lima lagi remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor atas pertuduhan merogol mangsa yang sama secara berkumpulan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam dua kejadian berasingan di lokasi yang sama.

Kejadian pertama melibatkan dua tertuduh berusia 15 dan 17 tahun yang didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 18 Julai lalu.

Bagi kejadian kedua, empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang sama antara jam 2 pagi hingga 5 pagi pada 19 Julai.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Wan Nursyaheedah Wan Najmi.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan. Seorang remaja berusia 15 tahun yang berdepan dua pertuduhan dikenakan jaminan keseluruhan RM1,000.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Oktober depan bagi mendapatkan laporan akhlak serta pembentangan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved