“Susu, beras dan ubat masih di atas kapal” – SNCC Sahkan Bantuan Global Sumud Flotilla Masih Ditahan Isra*l

4 Oct 2025 • 4:42 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa barangan bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipercayai masih berada di kapal yang dipintas oleh rejim Israel.

Bantuan tersebut termasuk beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, seramai 462 aktivis GSF kini sedang ditahan oleh pihak berkuasa Israel dan sedang melalui prosiding bersama imigresen Israel.

Pada masa yang sama, SNCC juga mendapat makluman daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) bahawa pada mulanya aktivis flotila tersebut dinafikan hak untuk bertemu peguam.

image is not available
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) membawa kira-kira 500 peserta dari pelbagai negara menaiki lebih 40 kapal bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Namun, dalam tempoh 24 jam yang lalu, peguam daripada Adalah telah berjaya bertemu dengan 331 aktivis di Pelabuhan Ashdod, sementara empat warga Itali telah dibebaskan.

“SNCC turut menerima laporan bahawa delegasi Malaysia kini ditempatkan di Penjara Ketziot dan sedang dinasihatkan untuk menandatangani borang Request for Immediate Departure.

“Dari 23 aktivis Malaysia yang ditahan, 20 telah dihubungi dan proses untuk tiga lagi sedang diatur,” katanya.

SNCC kini dalam keadaan siap sedia untuk membawa pulang semua 23 aktivis Malaysia setelah menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang berperanan sebagai penghubung dalam rundingan diplomatik dengan rejim Zionis.

SNCC juga menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan dengan melakukan solat hajat dan doa Qunut Nazilah bagi memastikan koridor kemanusiaan dibuka untuk Gaza.

Sumber: Kosmo!

Sumber:

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.