
CINCINNATI: Iga Swiatek mara ke separuh akhir Cincinnati Masters selepas Elena Rybakina terpaksa menarik diri akibat kecederaan tumit ketika aksi suku akhir hari ini.
Rybakina, pemain nombor dua dunia dari Kazakhstan, membuat keputusan itu ketika ketinggalan 1-4 pada set pertama, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang bermula 30 Ogos ini.
Rybakina tiba-tiba berhenti ketika kedudukan 40-40 sebelum mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan.
Dia kemudian kembali ke gelanggang untuk meneruskan permainan, namun hanya sempat bermain satu mata sebelum memutuskan untuk menamatkan perlawanan.
“Saya berasa cemas melihat keseluruhan situasi itu. Saya harap dia akan baik-baik sahaja kerana kesihatan sentiasa menjadi keutamaan,” kata Swiatek.
Rybakina sebelum ini tewas kepada Swiatek pada final kejohanan di Toronto minggu lalu.
Peluang Rybakina untuk menduduki ranking nombor satu dunia turut terjejas selepas dia terpaksa menarik diri.
Dia perlu mara ke final Cincinnati untuk memintas Aryna Sabalenka yang tersingkir mengejut kepada pemain berusia 20 tahun dari Republik Czech, Sara Bejlek.
Swiatek, juara bertahan Cincinnati, bagaimanapun mengakui semakin yakin dengan prestasinya selepas beberapa minggu yang memberangsangkan.
“Saya berasa hebat dan bersedia untuk bermain mengikut permainan saya.
“Saya memperoleh banyak keyakinan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan gembira dapat bermain tenis seperti sekarang,” katanya. – AFP/UTUSAN
The post Swiatek mara separuh akhir, Rybakina tarik diri appeared first on Utusan Malaysia.



