
LAHAD DATU: Polis menahan tiga individu, termasuk sepasang suami isteri, yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah serta merampas syabu bernilai RM17,000 dalam dua operasi berasingan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, ketiga-tiga suspek ditahan menerusi Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah.
Dalam serbuan pertama pada Jumaat di Kampung Sepadulang, seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun ditahan dan didapati memiliki dadah disyaki syabu seberat 0.17 gram bernilai RM18.70.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Semakan ke atas suspek juga mendapati dia mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, katanya.
“Bertindak atas maklumat penahanan pertama itu, sepasukan anggota BSJND melakukan serbuan susulan di sebuah rumah di Jalan SM Sains, Batu 8.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isterinya berumur 34 tahun serta penemuan syabu seberat 157.54 gram bernilai RM17,329.40,” katanya.
Menurut Dzulbaharin, pasukan turut rampas beberapa barangan lain termasuk sebuah kenderaan, televisyen, telefon bimbit, wang tunai dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata, ujian air kencing ke atas pasangan itu mendapati si suami positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952, selain siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama.
Polis Daerah Lahad Datu menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti terus terpelihara.


