MASALAH senjata yang dihadapi sejak sehari sebelum pertandingan tidak menghalang gandingan Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza-Sayyeda Khadeeja Anis Fadhil daripada mencipta rekod kebangsaan baharu pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 pada Sabtu.
Gandingan itu mengumpul 488.6 mata dalam aksi final acara 10 meter (m) pistol angin berpasukan campuran di Lapang Sasar Menembak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sekali gus memperbaharui rekod 488.1 mata yang dilakukan Haritz Hessly Hafiz-Gan Chen Jie (KPT-MASUM) pada April lalu.
Bagi Syafiq yang pernah menyarung jersi skuad senior kebangsaan, kejayaan itu cukup bermakna selepas terpaksa menggunakan senjata berbeza buat kali ketiga sepanjang persiapan dan pertandingan.
Katanya, proses menyesuaikan diri dengan pistol baharu bukan mudah kerana setiap senjata mempunyai karakter tersendiri, khususnya membabitkan picu dan kelajuan.
“Memang ada kesukaran untuk membiasakan diri dengan senjata orang lain kerana picu dan kelajuannya berbeza, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk habiskan tembakan.
“Pengalaman sebelum ini banyak membantu kerana ketika senjata rosak dalam pertandingan, saya dapat mengawal rasa cemas dan kekal tenang,” katanya.
Syafiq berkata, sasaran awalnya memang untuk membantu UPM meraih pingat emas, namun tidak menyangka mereka mampu menghasilkan catatan yang memecahkan rekod kebangsaan selepas berdepan masalah senjata sejak sehari sebelum pertandingan.
Dalam saingan final itu, Zainal 'Azim Ahmad Mahmud-Khairul Nabiha Baharin (UPNM 1) meraih perak dengan 451.6 mata, manakala pasangan UPNM, Firas Darwish Shahrul Nizam-Mumtazah Syahiidah Shamsuri, membawa pulang gangsa selepas mengumpul 390 mata.
Sementara itu, Sayyeda turut berdepan situasi sama apabila perlu menggunakan senjata pinjaman, namun mempunyai sedikit kelebihan kerana sempat mencubanya terlebih dahulu sebelum turun beraksi di pentas final.
Katanya, peningkatan prestasi pasangan UPM turut dibantu kemerosotan pencabar lain, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk melebarkan jurang mata sebelum mengesahkan kejuaraan.
“Pasukan lain agak menurun prestasinya dan itu membuka ruang untuk kami membina jurang. Kami bermula di tempat ketiga sebelum perlahan-lahan naik dan akhirnya muncul juara,” katanya.





