
PETALING JAYA: Kem angkat berat negara berdepan cabaran sukar untuk meraih emas di Sukan Asia 2026 apabila dua badang harapan, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin memilih untuk menarik diri.
Difahamkan, Aniq dan Muhammad Aznil memilih tidak bertanding di Sukan Asia 2026 bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi kejohanan kelayakan pertama ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bagaimanapun, ketiadaan dua badang itu membuka peluang kepada Muhamad Syahmi Nor Ghazali serta Muhammad Erry Hidayat untuk menggalas cabaran angkat berat negara pada Sukan Asia 2026 yang berlangsung pada 19 September hingga 4 Oktober ini.
Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim berkata, perancangan awal pasukan ke Sukan Asia membabitkan empat atlet iaitu Aniq, Aznil, Syahmi dan Erry, namun perubahan perlu dibuat susulan keputusan dua tonggak utama itu.
“Kalau ikut yang betul-betul pergi ada dua, Aznil dengan Aniq Kasdan, tetapi saya nak berbincang semula dengan dia sama ada persediaan dia cukup sebab kita tidak ada masa pun untuk latihan.
“Apabila Aniq habis pertandingan dengan Aznil (Sukan Komanwel), kita tidak dibenarkan latihan, jadi sehingga pulang ke Malaysia dia pun masih tidak pegang besi sedangkan Sukan Asia hanya tinggal beberapa minggu. Kalau beberapa minggu untuk angkat berat tidak cukup bagi saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Situasi itu membuka peluang kepada Syahmi dan Erry untuk tampil sebagai taruhan baharu negara di pentas Asia selepas masing-masing menyumbang emas ketika Malaysia muncul juara keseluruhan angkat berat Glasgow 2026 dengan lima emas, satu perak dan satu gangsa.
Dalam pada itu, keputusan Aniq menarik diri dibuat seminggu selepas pulang dari Sukan Komanwel Glasgow 2026 bagi memberi keutamaan kepada persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di China yang juga menjadi pentas kelayakan pertama ke LA28.
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu enggan mengambil risiko selepas mengalami kecederaan pada bahagian triseps sebelum Komanwel, selain perlu berdepan perbezaan kategori apabila Sukan Asia menawarkan 60 kilogram (kg), sedangkan kejohanan kelayakan Olimpik berlangsung dalam kategori 65kg.
“Saya buat keputusan itu seminggu selepas pulang dari Sukan Komanwel kerana sebelum itu saya cedera bahagian triseps, jadi saya tidak mahu ambil risiko untuk cedera lagi.
“Kalau saya pergi Sukan Asia, saya perlu beraksi dalam kategori 60kg, tetapi kelayakan Olimpik 65kg, jadi saya fokus terus kepada Sukan Olimpik,” kata Aniq.-UTUSAN
The post Syahmi, Erry galas cabaran Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.






