
KETUA jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri mengesahkan skuad negara sudah menyediakan pelan alternatif (Plan B) sekiranya Datuk Azizulhasni Awang memilih untuk tidak beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, bulan depan.
Walaupun Azizulhasni masih berada dalam perancangan utama untuk menyertai kem
latihan pusat di Brisbane, Australia sebagai persiapan ke Jepun, Harnizam mengakui pihaknya perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
Katanya, pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom perlu bersedia dengan segala kemungkinan untuk mengisi kekosongan tersebut jika ketiadaan Azizulhasni.
“Pelan alternatif sentiasa ada dan kami memantau keadaan dari semasa ke semasa. Setakat ini, Azizulhasni belum memberikan keputusan akhir, jadi kami perlu menunggu perkembangannya buat masa ini.
“Perjuangan harus diteruskan. Jika beliau tidak dapat bersama pasukan, Shah Firdaus perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan meningkatkan lagi tahap prestasinya,” kata Harnizam ketika ditemui semasa sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai semalam.
Mengulas lanjut mengenai persiapan ke Brisbane, Harnizam menjelaskan bahawa tiket penerbangan untuk Azizulhasni sudah disediakan mengikut perancangan asal, namun segala-galanya bergantung kepada keputusan pelumba itu.
“Mengikut jadual, Azizulhasni sepatutnya pergi. Namun, kita akan lihat sama ada beliau akan meneruskan hasrat tersebut atau memilih untuk tarik ‘handbrake’ atau sebaliknya,” tambahnya.
Masa depan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu menjadi perhatian selepas menyatakan kesediaan untuk meneruskan karier sehingga Olimpik Los Angeles 2028, dengan syarat khidmatnya benar-benar diperlukan oleh kerajaan
melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Harnizam secara peribadi berharap agar Azizulhasni kekal dalam skuad kerana pengaruh dan pengalamannya yang amat luas sangat diperlukan untuk membimbing barisan pelumba muda negara.
The post Sukan Asia: Sudah siapkan ‘pelan B’ appeared first on Kosmo Digital.






