
SEREMBAN: Walaupun sibuk memenuhi jadual ceramah di beberapa lokasi, penceramah bebas terkenal, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, tetap meluangkan masa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, hari ini.
Syamsul Debat berkata, pilihan raya kali ini merupakan kali keenam beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN berkenaan yang berada dalam Parlimen Seremban.
Anak jati Negeri Sembilan itu berkata, walaupun beliau, isteri dan dua anaknya masing-masing berdaftar sebagai pengundi di DUN yang berbeza, keadaan itu tidak menghalang mereka daripada keluar mengundi.
“Saya membesar di Kampung Panchor dan rumah ibu saya juga berada dalam kawasan DUN ini. Sebab itu saya kekal mengundi di sini.
“Kawasan ini telah melalui beberapa wakil rakyat sejak zaman Allahyarham Datuk Ishak Ismail, kemudian Mustafa Salim dan kini Datuk Mohd. Asna Amin yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selebriti dakwah ini berkata, sebaik selesai mengundi pada awal pagi, beliau terus bergegas ke Putrajaya bagi memenuhi undangan menyampaikan ceramah yang telah dijadualkan lebih awal.
“Saya datang awal untuk mengundi kerana selepas ini perlu menghadiri program ceramah di Putrajaya,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, DUN Lenggeng menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Untuk rekod, daerah mengundi Panchor merupakan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi terbesar di DUN Lenggeng dengan lebih 13,000 pengundi berdaftar.
Kawasan itu sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat UMNO sebelum menyaksikan perubahan corak sokongan dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini.
DUN Lenggeng yang terletak di selatan Negeri Sembilan dan bersempadan dengan Semenyih serta Beranang di Selangor turut dianggap sebagai kerusi marginal berikutan rekod kemenangan tipis yang dicatatkan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
The post Syamsul Debat tunai tanggungjawab mengundi di DUN Lenggeng appeared first on Utusan Malaysia.




