PAROI - Seorang petugas media berdepan layanan tidak memuaskan ketika membuat liputan, sekali gus menunaikan tanggungjawab mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN Paroi), hari ini.
Menurut petugas media tersebut, kenderaan yang dipandu olehnya dibenarkan memasuki kawasan pusat mengundi bagi tujuan membuat tinjauan, sebelum dia dihalang polis dan petugas kerana tidak memiliki pas khas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, dia diarahkan supaya mengalihkan kenderaan dan meninggalkan pusat mengundi berkenaan, walaupun telah memberikan penjelasan dengan tertib.
“Saya akur apabila tidak dibenarkan membuat tinjauan di dalam kawasan pusat mengundi kerana tidak memiliki pas khas SPR.
“Tapi saya turut dihalang daripada mengundi, sedangkan saya adalah pengundi berdaftar untuk DUN Paroi dan pusat mengundi itu memang saluran ditetapkan untuk saya mengundi,” katanya, kesal.
Jelas petugas tersebut, insiden berkenaan berlaku dalam keadaan hujan lebat, yang seharusnya boleh ditangani dengan baik menggunakan budi bicara dan tolak ansur.
“Kalaupun saya tak boleh buat liputan, apa salahnya tegur secara berhemah. Mengapa perlu biadab?
“Dengarlah dulu penjelasan yang mahu diberi. Bukannya kami sengaja mencipta masalah,” katanya.
Getaran difahamkan, petugas terbabit kemudiannya membatalkan hasrat untuk mengundi selepas dilarang memasuki pusat mengundi berkenaan. - Getaran, 1 Ogos 2026





