
KUALA LUMPUR – Persoalan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka terjawab apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan penjelasan di Parlimen esok.
Memetik laporan New Straits Times, Saifuddin berkata, beliau akan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan berhubung isu berkenaan ketika persidangan Dewan Rakyat.
“Semua persoalan itu akan saya jawab di Parlimen esok,” katanya ketika diminta mengulas perkara berkenaan.
Malam tadi, konvoi yang membawa Najib tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta, di sini pada pukul 9.27 malam.
Najib menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna kelabu yang membawa beliau ke kediaman berkenaan bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin mengeluarkan perintah pelepasan baharu yang membolehkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn. Bhd. secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Perintah itu turut membatalkan sepenuhnya perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Perkembangan itu sekali gus menamatkan ketidaktentuan berhubung pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib yang sebelum ini ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
The post Syarat tahanan Najib di rumah dijangka didedah esok appeared first on Kosmo Online.




