QES labur RM17.5 juta beli 2 pejabat di Singapura daripada JVA Nir

Business & FinanceProperty
8 Sep 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

QES labur RM17.5 juta beli 2 pejabat di Singapura daripada JVA Nir Image from: QES labur RM17.5 juta beli 2 pejabat di Singapura daripada JVA Nir amree08/09/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 SeptQES Group Berhad melabur RM17.49 juta untuk membeli dua unit pejabat di Space Nova, Singapura, dengan 90% daripada kos pembelian itu dibiayai menerusi pinjaman bank, ketika kumpulan bersedia mengembangkan operasi dan perniagaan di negara berkenaan.

 

Ujarnya, unit pejabat tersebut bakal dibeli oleh anak syarikat tidak langsungnya, QES (Singapore) Pte Ltd (QSG), pada harga keseluruhan S$5.47 juta (RM17.49 juta) daripada JVA Nir Pte Ltd menerusi perjanjian jual beli (SPA) yang dimeterai rasmi pada 8 September 2026.

 

Tambah kumpulan berkenaan, lokasi kedua-dua unit hartanah berbeza tersebut terletak bersebelahan antara satu sama lain iaitu di #05-04 dan #05-05, New Industrial Road dengan keluasan binaan masing-masing kira-kira 160 meter persegi dan 154 meter persegi.

 

"Unit ini berstatus tanah pegangan bebas dan diluluskan pihak berkuasa hanya untuk kegunaan industri bersih (B1), namun dicadangkan bagi digunakan sebagai bangunan pejabat bagi menyokong keperluan operasi QSG," jelas QES dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Harga pembelian unit #05-04 ditetapkan S$2.79 juta (RM8.95 juta), manakala unit #05-05 berharga S$2.68 juta (RM8.59 juta), berdasarkan prinsip pembeli dan penjual bersetuju dengan mengambil kira lokasi strategik, tempoh pegangan, keluasan, kegunaan serta harga pasaran semasa.

 

Ujar kumpulan tersebut, dari segi pembiayaan, kira-kira S$4.92 juta (RM15.74 juta) atau 90% daripada harga pembelian akan dibiayai melalui pinjaman bank, manakala baki S$550,000 (RM1.75 juta) pula akan menggunakan dana yang dijana secara sumber dalaman.

 

QES_DagangNews2026

 

QES berkata langkah berkenaan dilakukan bagi menyediakan ruang operasi lebih luas untuk QSG, berikutan jangkaan pertumbuhan perniagaan di negara itu yang semakin kukuh menerusi inisiatif pengembangan produk dan pasaran pada tahun-tahun akan datang.

 

"Syarikat turut melihat lokasi Space Nova sebagai strategik kerana mempunyai akses yang baik untuk pekerja dan rakan perniagaan, selain berada dalam kawasan perindustrian telah dibangunkan serta berhampiran kemudahan dan kawasan kediaman," jelasnya lagi.

 

Pengambilalihan itu juga dijangka membantu kumpulan mengelakkan kekangan operasi akibat kekurangan ruang fizikal, termasuk ruang terhad untuk bilik demonstrasi bagi kunjungan pelanggan, selain mengukuhkan kehadiran dan identiti korporat syarikat di Singapura.

 

Dari perspektif kewangan, QES berkata, usaha pengambilalihan hartanah berkenaan tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap keuntungan dan pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.

 

Bagaimanapun ujarnya, dengan mengambil kira pinjaman RM15.74 juta, paras penggearan atau nisbah hutang bersih dijangka meningkat daripada hanya kira-kira 0.31 kali kepada 0.39 kali, manakala aset bersih sesaham syarikat adalah kekal 23 sen.

 

"Kumpulan menjangkakan pengambilalihan selesai pada suku ketiga 2026, tertakluk kepada syarat dalam SPA dengan unit berkenaan dijadualkan dapat diserahkan milikan kosong selewat-lewatnya 30 Jun 2029," tambahnya.

 

Sehubungan itu, syarikat tersebut menyifatkan pembelian itu sebagai munasabah secara komersial berikutan potensi kenaikan nilai hartanah serta penjimatan perbelanjaan sewaan dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved