Synergy House tawar peluang pelaburan menarik, RHB Investment kekalkan saranan 'Beli'
herman
16/08/2024 - 15:39
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Syarikat perabot, Synergy House Bhd menawarkan peluang pelaburan menarik dengan prestasi separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24) dijangkakan lebih baik, kata RHB Investment Bank.
Menurut firma penyelidikan itu, Synegy House juga memiliki kunci kira-kira yang kukuh dan aliran tunai operasi yang positif.
"Kami menjangkakan impak pembersihan stok akan berkurangan pada suku tahun akan datang dan kekal optimis terhadap hala tuju Synergy House, terutamanya dengan pengembangan perniagaan kepada pengguna (B2C) ke platform baru tahun ini.
"Walaupun kos pengembangan mungkin memberi kesan kepada margin dalam jangka pendek, prospek pertumbuhan jangka panjang tetap kukuh.
"Dengan prestasi 2H yang dijangkakan lebih baik, kunci kira-kira yang kukuh, dan aliran tunai operasi yang positif, Synergy menawarkan peluang pelaburan yang menarik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma tersebut, segmen B2C terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, kini menyumbang 54% daripada jumlah pendapatan iaitu meningkat daripada 52.2% pada 1QFY24.
Kata RHB Inestment, musim panas di Amerika Syarikat (AS) bermula lewat pada suku kedua menyebabkan peningkatan perbelanjaan pengguna pada perabot luar dan keperluan lain berbanding perabot dalam rumah Synergy.
"Di UK, walaupun menghadapi cabaran logistik dan kerugian jualan akibat inventori rosak, trend pendapatan B2C kekal kukuh. Pendapatan B2C pada 2Q24 adalah RM6.58 juta, sedikit lebih tinggi daripada RM6.53 juta yang dicatatkan pada 1Q24.
"Walaupun terdapat aktiviti pembersihan stok dan kerugian jualan pada 2Q24, jumlah unit yang dijual dalam segmen B2C mencapai kira-kira 126,000 unit, meningkat daripada 120,000 unit pada 1Q24.
"Sebaliknya, kami menjangkakan penghantaran yang lebih tinggi kepada pelanggan B2B pada 2H24, terutamanya pada 3Q24, apabila pelanggan bersedia untuk jualan perayaan pada 4Q24," jelasnya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.36 sesaham dengan potensi kenaikan 26%.
"Keuntungan teras (1QFY24) sebanyak RM6.4 juta adalah selaras dengan ramalan kami," ujarnya.
Pasaran utama Synergy Huse adalah UK, UAE, dan AS selain turut mengedar perabot ke Belgium, Ireland, Australia, India, Lebanon, dan negara-negara Asia Tenggaa seperti Indonesia, Thailand, Singapura, dan Brunei. - DagangNews.com



