t

30/07/2025 - 11:06
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Julai – Hospital Pakar Johor (JSH) menjadi hospital pertama di wilayah Selatan yang melaksanakan pembedahan histerektomi robotik menerusi prosedur biopsi nodus sentinel untuk pesakit kanser endometrium yang masih berada di peringkat awal.
Pembedahan tersebut menggunakan sistem robotik untuk membuang rahim dan mengambil sampel nodus limfa sentinel, iaitu nodus pertama yang boleh menunjukkan tanda penyebaran kanser.
Prosedur ini turut menggunakan teknik pengimejan khas menggunakan cahaya (pendarfluor) untuk membantu pasukan pembedahan mengenal pasti nodus limfa yang tepat yang membolehkan doktor mengumpul maklumat penting dalam satu pembedahan yang sama dan mengelakkan pembuangan nodus limfa yang berlebihan.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kejayaan pembedahan itu adalah sebahagian daripada usaha KPJ untuk memperluaskan penggunaan teknologi invasif minimum dalam rawatan kanser wanita, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti pesakit obes dan warga emas.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kumpulan terhadap transformasi sistem penjagaan kesihatan menerusi KPJ Health System yang menekankan gabungan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan.
“Kami akan terus memperluas akses kepada teknologi pembedahan canggih serta memperkukuh barisan pakar bagi memberi manfaat langsung kepada pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Kanser endometrium merupakan kanser yang paling kerap menyerang sistem reproduktif wanita. Bagi pesakit yang lebih berusia atau mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, kaedah pembedahan terbuka tradisional berisiko tinggi dan biasanya memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama.
Teknik pembedahan bantuan robotik dan kaedah ‘lubang kunci’ lain dibangunkan untuk menjadikan proses pembedahan lebih selamat dan kurang invasif, dengan teknik hirisan lebih kecil, kehilangan darah yang minimum dan tempoh pemulihan yang lebih singkat.
Sementara itu, Pakar Perunding Onkologi Ginekologi di JSH, Dr Ahmad Shuib Yahaya yang mengetuai pembedahan itu berkata, teknik ini membolehkan pasukan perubatan memberi tumpuan kepada nodus limfa yang paling berisiko terjejas tanpa perlu membuang terlalu banyak nodus yang tidak diperlukan.
“Untuk pesakit, ini boleh mengurangkan komplikasi dan mempercepatkan pemulihan, dalam masa yang sama dapat memberi kami maklumat yang diperlukan untuk merancang rawatan sesuai kepada pesakit," katanya.
KPJ kini mengendalikan 30 hospital di seluruh negara dan menyasarkan peluasan subkepakaran serta pembangunan pusat kecemerlangan menerusi penggunaan teknologi seperti pembedahan robotik dalam bidang onkologi, urologi dan pembedahan am. - DagangNews.com
standard



