sarah20/11/2026 - 15:07 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Farm Price Holdings Bhd dijangka berdepan pemulihan keuntungan yang lebih perlahan selepas operasi penuh kilang keduanya ditangguhkan ke suku pertama 2027, ketika permintaan dari Singapura semakin lemah dan kos bekalan sayur-sayuran dijangka meningkat.
RHB Investment Bank (RHB Research) berkata, kilang baharu yang pada asalnya dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2026 itu dijangka menyokong pengeluaran produk sayur-sayuran siap bungkus dan produk bernilai tambah yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi, namun penggunaan kapasiti baharu mungkin meningkat secara beransur-ansur berikutan permintaan pasaran yang sederhana.
Menurut firma penyelidikan itu, Farm Price turut menjangkakan kenaikan sederhana harga daripada pembekal mulai suku keempat 2026, melibatkan sumber bekalan tempatan dan luar negara, sebahagiannya disebabkan peningkatan kos pengangkutan.
Keadaan itu boleh menekan keuntungan kerana walaupun syarikat berhasrat memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan dengan segera, sebahagian kontrak jualannya menetapkan harga tetap, sekali gus mengehadkan keupayaan untuk menaikkan harga dalam tempoh terdekat.
Jualan Singapura susut 7%
RHB berkata, jualan Farm Price di Singapura merosot 7% kepada RM11.4 juta pada suku ketiga 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, menyebabkan hasil keseluruhan kumpulan turun 3.2% kepada RM31.8 juta, manakala margin keuntungan kasar mengecil kepada 20.7% berbanding 23.9% pada suku sebelumnya.
Bagi sembilan bulan pertama 2026, hasil kumpulan masih meningkat 3.2% kepada RM96.3 juta, namun keuntungan teras merosot 15.6% kepada RM7.8 juta, dengan margin keuntungan bersih teras menyusut kepada 8.1% berbanding 9.9% dalam tempoh sama tahun lalu.
Unjuran keuntungan diturunkan hingga 2028
Susulan prestasi lebih lemah daripada jangkaan, RHB menurunkan unjuran keuntungan Farm Price masing-masing sebanyak 12%, 10% dan 9% bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028, mengambil kira permintaan Singapura yang sederhana, tekanan kos dan jangkaan penggunaan kapasiti kilang baharu yang lebih perlahan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Farm Price tetapi menurunkan harga sasaran kepada 36 sen daripada 42 sen, mencerminkan potensi penurunan sekitar 3% berbanding harga pasaran 37 sen, sementara menunggu bukti peningkatan jualan dan pemulihan margin keuntungan yang lebih kukuh. - DagangNews.com






