amree28/09/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Bakal jemaah yang mahu merebut peluang menunaikan ibadah haji pada musim 1448H/2027M perlu membuat persediaan lebih awal apabila Lembaga Tabung Haji (TH) membuka permohonan rayuan haji mulai 2 Oktober 2026.
TH berkata pembukaan proses rayuan lebih awal itu memberi ruang kepada bakal jemaah untuk membuat persediaan dari aspek kewangan, kesihatan dan ilmu, selaras dengan penerapan konsep istito’ah atau kemampuan dalam kalangan masyarakat Islam.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata permohonan rayuan boleh dibuat menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI, dengan pemohon perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun.
"Bagi jemaah yang berjaya melalui proses rayuan, kadar bayaran haji ditetapkan pada kos penuh RM33,300 bagi musim haji 1448H/2027M, selaras dengan konsep kemampuan dalam menunaikan kewajipan haji," jelas beliau menerusi satu kenyataan.
Menurut TH, syarat simpanan RM15,000 itu ditetapkan berdasarkan kadar bayaran haji terendah bagi kumpulan B40 dan digunakan sebagai had rujukan minimum kemampuan kewangan seseorang pemohon untuk dapat menunaikan ibadah fardu haji.
Bagi rayuan luar giliran, TH akan mengambil kira beberapa kriteria dan skor merit, termasuk tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan, konsistensi simpanan, kekerapan membuat rayuan serta kekerapan menghadiri Kursus Asas Haji anjuran TH.


TH tambah Mustakim, turut memberi keutamaan kepada rayuan melibatkan mahram, pengiring kepada jemaah lanjut usia atau pengiring jemaah orang kurang upaya (OKU) yang sudah terpilih menunaikan haji bagi musim 1448H/2027M.
"Bagi rayuan mahram atau pengiring yang berjaya, kadar bayaran haji adalah berdasarkan kadar yang dikenakan kepada penerima tawaran haji giliran semasa yang diiringi, iaitu mengikut kategori B40, M40 atau T20," katanya.
TH turut mengingatkan bakal jemaah agar memberi perhatian terhadap aspek kesihatan kerana kelulusan permohonan rayuan tertakluk kelulusan ujian saringan kesihatan, selain melengkapkan persediaan ilmu berkaitan ibadah haji.
Dalam usaha membantu bakal jemaah membuat persediaan, TH mengadakan Kursus Asas Haji di lebih 200 masjid seluruh negara bermula 25 September 2026, selain kempen #menujuistitoah dan pelan persediaan haji menyeluruh dikenali sebagai Seruan Istito’ah.
Pendeposit boleh mendapatkan maklumat mengenai proses rayuan, kategori rayuan dan status permohonan menerusi THiJARI, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang TH atau Tabung Haji Contact Centre (THCC) di 03-6207 1919. - DagangNews.com






