
SHAH ALAM, 5 OKT: Tabung Haji mencatat keuntungan RM4.64 bilion, tertinggi dalam sejarah institusi itu, hasil prestasi pelaburan baharu dan sedia ada yang semakin kukuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pencapaian itu turut disokong pengukuhan tadbir urus dan tatakelola dalam setiap keputusan pelaburan.
“Sejak tahun lalu, kita mencatatkan keuntungan tertinggi dalam sejarah Tabung Haji, RM4.64 bilion.
“Ini menunjukkan pelaburan yang telah dilaksanakan, sama ada baharu atau sedia ada, telah membuktikan kejayaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Besut di Dewan Rakyat.
Menurutnya, setiap keputusan pelaburan melalui beberapa peringkat penelitian termasuk Investment Executive Council, Jabatan Risiko dan Syariah, Portfolio Review Committee, Investment Panel serta Lembaga Pengarah.
Beliau berkata proses berlapis itu penting bagi memastikan setiap pelaburan dinilai dengan teliti sebelum keputusan dibuat.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata Tabung Haji terus melaksanakan Hajj Financial Assistance (HAFIS) secara bersasar bagi membantu jemaah menghadapi peningkatan kos menunaikan haji.
Katanya, kenaikan kos dipengaruhi beberapa faktor termasuk inflasi, harga minyak, caj dan kos perkhidmatan di Arab Saudi serta perubahan kadar pertukaran mata wang asing.
“Alhamdulillah, kita berjaya mengekang kenaikan kos selama empat tahun berturut-turut. Itu merupakan kejayaan yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan HAFIS secara bersasar turut mendapat pandangan hukum menerusi Muzakarah Haji Kebangsaan pada 2019.
Menurut Zulkifli, Tabung Haji juga terus memperkukuh mutu perkhidmatan haji dan telah menerima Anugerah Pengurusan Haji Terbaik Dunia selama lima tahun berturut-turut.






