
PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) akan melaksanakan tindakan undang-undang selain langkah penguatkuasaan dan pengesanan aliran wang milik syarikat Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Project Management Ltd (Al-Rawda).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ia merupakan sebahagian proses pemulihan hutang dengan kerjasama pihak berkaitan di Arab Saudi.
“TH sudah mengambil tindakan undang-undang serta prosiding penguatkuasaan di mahkamah Arab Saudi berkenaan Nota Janji dikeluarkan Al-Rawda dan dijamin pemiliknya sendiri.
“Ia selepas Al-Rawda gagal membuat bayaran mengikut perjanjian bagi tempoh yang lama,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, prosiding timbang tara sudah dimulakan oleh Al-Rawda terhadap TH pada 2021, di mana Al-Rawda diarahkan membayar SAR899 juta (RM980 juta) kepada TH.
“TH dan Al-Rawda menandatangani Perjanjian Penyelesaian pada 27 November 2024 berkaitan cara pembayaran award timbang tara terbabit.
“Al-Rawda hanya berjaya membayar sebahagian daripada jumlah terbabit iaitu sebanyak SAR14.9 juta (RM16.26 juta).
“Namun, mereka masih gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian walaupun tempoh lanjutan diberikan oleh TH. Perjanjian Penyelesaian ditamatkan pada 15 Januari 2025,” katanya.
Zulkifli berkata, TH sudah mengemukakan surat aduan berhubung kegagalan Al-Rawda kepada Gabenor Makkah pada September 2025.
Katanya, TH memandang serius perkara itu dan komited menjaga kemampanan portfolio pelaburan berasaskan tahap toleransi risiko bersesuaian. – UTUSAN
The post TH laksana tindakan undang-undang, kesan aliran wang milik Al-Rawda appeared first on Utusan Malaysia.






