KDN luluskan 225 permohonan kewarganegaraan di Sarawak sejak 2024 - Dewan Rakyat diberitahu

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KDN luluskan 225 permohonan kewarganegaraan di Sarawak sejak 2024 - Dewan Rakyat diberitahu Image from: KDN luluskan 225 permohonan kewarganegaraan di Sarawak sejak 2024 - Dewan Rakyat diberitahu amree02/11/2026 - 15:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov — Sebanyak 416 permohonan kewarganegaraan di Sarawak masih lagi dalam proses pertimbangan Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala 225 daripada keseluruhan 722 permohonan diterima sejak 2024 hingga September 2026 diluluskan setakat ini.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah keseluruhan permohonan berkenaan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, hanya sebanyak 306 sudah menerima keputusan muktamad daripada KDN.

 

Beliau menjelaskan, selain 225 permohonan yang diluluskan itu, sebanyak 18 permohonan lagi ditolak, manakala baki kes masih perlu melalui proses penelitian dan pengesahan.

 

"Kes-kes berkenaan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sarawak (JKKSK) pada tahun ini," kaya Shamsul Anuar.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai keberkesanan JKKSK dalam mempercepatkan pengesahan kes membabitkan kanak-kanak tanpa dokumen di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga 2026.

 

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menjelaskan bahawa kuasa muktamad untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan kekal di bawah bidang kuasa KDN, manakala JKKSK berperanan sebagai mekanisme kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

 

Shamsul Anuar Nasarah_DagangNews2026

 

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memastikan proses pengurusan permohonan lebih inklusif dan adil, selain mempercepatkan pengesahan kes serta mengurangkan isu berkaitan status kewarganegaraan kanak-kanak di Sarawak.

 

Mengulas mengenai akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan awam bagi kanak-kanak tanpa dokumen sementara menunggu keputusan kewarganegaraan, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada dasar serta bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan.

 

"Urusan kemasukan ke sekolah formal dan caj rawatan awam, perlu dirujuk kepada Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan, manakala aspek kebajikan dan perlindungan sosial boleh dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau menegaskan KDN tidak pernah melantik mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu untuk mengendalikan proses permohonan kewarganegaraan bagi mengelakkan salah faham mengenai pihak yang mempunyai kuasa menguruskan permohonan berkenaan.

 

Menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai kemungkinan mekanisme khas seperti di Sarawak diperkenalkan di Perlis, Shamsul Anuar berkata KDN bersedia membantu membawa sebarang isu berkaitan untuk tindakan lanjut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved