Tabung Haji umum dividen 3.5%, manfaat lebih 9.7 juta pendeposit

LocalBusiness & Finance
18 Mar 2026 • 7:53 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat berbanding 3.25 peratus yang diumumkan bagi tahun 2024.

Dr. Zulkifli Hasan berkata, agihan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan RM3.22 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH di seluruh negara.

Menurut beliau, agihan keuntungan itu ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, yang dibayar bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

“Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Sejak penubuhannya 62 tahun lalu, TH telah mengagihkan sebanyak RM49 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendeposit,” katanya pada sidang akhbar pengumuman agihan keuntungan Tabung Haji 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain berkata keputusan bagi tahun 2025 merupakan prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh.

“Alhamdulillah, Tabung Haji terus memberikan pulangan yang mampan kepada para pendeposit sambil memperkukuh kerangka kewangannya.

“Kedudukan kunci kira-kira yang semakin mantap mencerminkan pengurusan kewangan yang berdisiplin, tadbir urus yang lebih cekap serta portfolio pelaburan yang kukuh,” katanya.

Beliau menambah bahawa dalam suasana ekonomi global yang semakin tidak menentu, TH kekal memberi tumpuan kepada usaha melindungi simpanan pendeposit di samping memastikan pulangan yang kompetitif dan mampan.

“Langkah ini juga menyokong usaha mencapai istito’ah serta menggalakkan persiapan dan disiplin kewangan dalam kalangan umat Islam bagi menunaikan ibadah haji,” ujarnya.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula jam 10 pagi esok melalui aplikasi THiJARI, di kaunter Tabung Haji, serta di kaunter rakan strategik perbankan seperti Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Rakyat.

Semakan juga boleh dibuat melalui saluran elektronik rakan strategik lain termasuk Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic. – MYBERITA

View Original Article