
PETALING JAYA – Penutupan sekolah susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa negeri bukan sahaja menjejaskan murid sekolah, malah turut mencetuskan keresahan dalam kalangan ibu bapa apabila ada tadika swasta mengambil keputusan untuk tidak beroperasi, hari ini.
Situasi itu menimbulkan keluhan khususnya dalam kalangan ibu bapa bekerja yang terpaksa mencari alternatif penjagaan anak dalam tempoh singkat selepas menerima makluman penutupan daripada pihak tadika masing-masing.
Seorang ibu menerusi Threads, @Nsnafisa berkata, tadika anaknya yang berusia empat tahun turut memaklumkan mengenai penutupan biarpun premis berkenaan beroperasi sepenuhnya di dalam bangunan dan dilengkapi penyaman udara.
“Hai ibu bapa, saya nak tanya sedikit. Tadika anak anda semua tutup juga ke? Anak saya berusia empat tahun dan mengambil pakej sehari penuh dari pukul 7 pagi hingga 7 malam.
“Tadika itu beroperasi sepenuhnya di dalam bangunan, berbumbung dan penyaman udara, tetapi turut dimaklumkan perlu ditutup. Pening juga kan kita sebagai ibu bapa bekerja nak fikir anak nak letak dekat mana,” katanya.
Menurutnya, sekiranya penutupan berlanjutan, isu bayaran juga wajar dipertimbangkan memandangkan ibu bapa mungkin perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk mendapatkan penjaga di rumah.
Seorang lagi pengguna, @Namkei98 turut mempersoalkan penutupan tadika swasta memandangkan kebanyakan kanak-kanak berada di dalam bangunan sepanjang tempoh pembelajaran.
“Bayar tadika mahal. Murid pun dalam bangunan ada penyaman udara. Apa logiknya tadika swasta pun tutup juga sebab jerebu? Ibu bapa tak perlu kerja ke?” soalnya.
Pandangan sama dikongsi beberapa pengguna lain yang berpendapat situasi tadika dan pusat jagaan berbeza dengan sekolah biasa kerana kebanyakan aktivitinya dilakukan di dalam bangunan.
“Kenapa pusat jagaan kanak-kanak perlu ditutup sedangkan premis memang beroperasi sepenuhnya di dalam bangunan? Buat sahaja semua aktiviti anak-anak di dalam premis.
“Sekolah memang wajar ditutup kerana kebanyakan kelas dan kawasan sekolah lebih terbuka, sekali gus menyebabkan murid lebih mudah terdedah kepada jerebu,” komen @Amiraezi.
Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengumumkan semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup hari ini susulan keadaan jerebu.
Penutupan turut melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.
Sebelum itu, Kementerian Pendidikan menetapkan semua institusi pendidikan di bawah kementerian yang berada di kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara melebihi 180 perlu ditutup, manakala kawasan dengan bacaan melebihi 150 secara berterusan selama tiga hari turut tertakluk kepada penutupan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tadika swasta, indoor pun nak tutup juga, pening cari penjaga anak’ appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Sekolah tutup…jalan KL, Selangor terus lengang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/jln-2-1024x634.jpeg)


![[VIDEO] Sekolah Johor lengang, PdPR ganti kelas](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-08-at-11.37.09-AM-1024x730.jpeg)