Islam utamakan keselamatan nyawa

Opinion
9 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Islam utamakan keselamatan nyawa

Kita selalu bercakap tentang kecemerlangan pendidikan. Kita bercakap tentang keputusan peperiksaan, kelas tambahan, universiti, kokurikulum dan masa depan anak-anak. Tetapi jangan lupa satu perkara paling asas: Anak-anak kita mesti selamat ketika menuntut ilmu.

Dalam Islam, nyawa manusia memiliki kedudukan sangat tinggi. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” - Surah al-Nisa’: 29.

Islam bukan hanya memerintahkan manusia mencari ilmu. Islam juga memerintahkan manusia menjaga nyawa. Dalam kerangka maqasid al-syariah, pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) salah satu perkara asas.

Apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah, amanah pendidikan bukan hanya bermaksud memastikan anak itu mendapat ilmu. Amanah itu juga bermaksud memastikan anak berada dalam keadaan selamat.

Ilmu penting tetapi nyawa lebih asas. Allah SWT juga menyebut dalam Surah al-Ma’idah ayat 32 tentang besarnya dosa membunuh satu jiwa tanpa alasan yang dibenarkan syarak.

Ini menunjukkan keselamatan manusia bukan isu sampingan. Maka keselamatan sekolah tidak boleh dianggap perkara teknikal semata-mata. Ia juga mempunyai dimensi agama.

Ada satu perkara yang perlu difahami. Apabila kita bercakap tentang keselamatan, jangan ada yang berkata: “Kalau Allah hendak jaga, Allah akan jaga.” Memang benar Allah yang menjaga manusia. Tetapi tawakal tidak bermaksud meninggalkan usaha.

Nabi Muhammad SAW ketika berhijrah bersama Abu Bakar mengambil pelbagai langkah keselamatan. Baginda merancang perjalanan, memilih laluan, menggunakan penunjuk jalan dan berlindung di Gua Thur. Baginda bertawakal kepada Allah, tetapi pada masa sama mengambil sebab.

Ini pengajaran penting. Percaya kepada Allah tidak bermaksud kita mengabai sistem keselamatan. Kalau sekolah mempunyai kawasan gelap, kita perlu meneranginya. Kalau terdapat kawasan tidak dipantau, kita perlu meningkatkan pemantauan.

Kalau ada ancaman terhadap pelajar, kita perlu ambil tindakan. Kalau CCTV diperlukan, pasang. Kalau kawalan keluar masuk diperlukan, perketat kawalan. Semua itu bukan bertentangan dengan tawakal. Itulah sebahagian ikhtiar.

Dalam hadis Nabi Muhammad SAW terdapat kaedah yang sangat penting: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”

Hadis ini asas kepada salah satu kaedah fikah yang sangat besar. Jika diterap dalam dunia pendidikan, maksudnya jelas.

Kita tidak boleh membiarkan keadaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar tanpa usaha mengurangkan risiko tersebut.

Jika ada buli, perlu ditangani. Jika ada ugutan, perlu disiasat. Jika ada gangguan, perlu diberi perhatian. Jika ada pelajar menunjukkan tingkah laku membahayakan, jangan tunggu berlaku tragedi. Pencegahan lebih baik daripada menunggu penyesalan.

Ini tidak bermaksud setiap pelajar bermasalah perlu dianggap penjenayah. Sebaliknya, perlu ada sistem mengenal pasti risiko, mendapatkan bantuan dan mengambil tindakan sebelum keadaan lebih buruk.

Dalam sejarah para sahabat, kita boleh melihat pendekatan Saidina Umar bin al-Khattab yang mengambil berat soal keselamatan dan kebajikan masyarakat. Antara kisah masyhur ialah beliau keluar pada waktu malam untuk melihat sendiri keadaan rakyat.

Pengajaran daripada pendekatan ini sangat besar. Seorang pemimpin tidak hanya bergantung kepada laporan. Dia perlu melihat realiti.

Memiliki sistem keselamatan tidak semestinya bermakna kita mempunyai keselamatan. Yang penting ialah keberkesanan sistem tersebut.

Tanggungjawab bersama

Kita juga tidak boleh meletak seluruh tanggungjawab keselamatan kepada pengawal keselamatan. Keselamatan sekolah tanggungjawab bersama.

Pengetua bertanggungjawab. Guru bertanggungjawab. Pengawal keselamatan bertanggungjawab. Ibu bapa bertanggungjawab. Pelajar juga ada tanggungjawab.

Jika pelajar mengetahui rakannya menerima ancaman, dia perlu ada keberanian melaporkannya. Jika guru melihat perubahan tingkah laku membimbangkan, jangan menganggapnya sebagai masalah disiplin biasa. Jika ibu bapa menerima aduan anak, jangan terus berkata: “Itu masalah budak-budak.”

Kadang-kadang perkara yang dianggap kecil sebenarnya tanda awal masalah lebih besar. Sebab itu sekolah perlu membina budaya melapor, bukan budaya menutup masalah.

Pelajar mesti tahu kepada siapa mereka boleh mengadu. Guru mesti tahu apa tindakan yang perlu diambil. Pihak pengurusan mesti ada mekanisme tindak balas. Dan apabila sesuatu perkara memerlukan campur tangan pihak berkuasa, jangan berlengah.

Dalam masa sama, tragedi Irene Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal mengajar kita supaya berhati-hati. Kita tidak sepatutnya mencipta cerita tentang motif, menyebar dakwaan yang belum disahkan atau menghukum seseorang melalui media sosial.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6 supaya berita yang diterima diperiksa terlebih dahulu agar kita tidak membawa keburukan kepada orang lain kerana kejahilan.

Maka, kita serahkan siasatan kepada pihak berkuasa.

Berhati-hati daripada berspekulasi tidak bermaksud kita tidak boleh bertanya isu keselamatan. Kita tetap perlu bertanya: Apakah yang boleh diperbaiki? Di manakah kelemahan sistem? Bagaimana risiko boleh dikurangkan? Bagaimana anak-anak boleh belajar dengan lebih selamat?

Kita juga perlu mengubah cara kita melihat kejayaan pendidikan. Pelajar bukan nombor. Mereka bukan sekadar keputusan peperiksaan. Mereka ialah manusia yang ada keluarga, sahabat, impian dan masa depan.

Jangan ukur kejayaan pendidikan hanya dengan berapa ramai pelajar mendapat A. Kita juga perlu bertanya: Adakah pelajar berasa selamat? Adakah mereka berani melapor ancaman?

Adakah pihak sekolah bertindak pantas apabila menerima aduan? Adakah kawasan sekolah benar-benar selamat? Dan yang paling asas: Adakah anak-anak kita pulang ke rumah dengan selamat selepas menuntut ilmu?

Ilmu adalah cahaya. Tetapi tempat mencari cahaya itu juga mesti dijaga daripada kegelapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved