KOTA BHARU - Kegiatan seorang penganggur yang dipercayai terbabit dalam siri pecah rumah akhirnya tumpas selepas ditahan polis sekali gus menyelesaikan 11 kes dengan kerugian kira-kira RM100,000.
Suspek berusia 28 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini pada jam 6.30 petang, 10 Ogos lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah motosikal Honda C70, empat telefon bimbit, lima jam tangan pelbagai jenama, lima kad bank, tiga bentuk cincin, seutas gelang tangan, tiga beg tangan pelbagai jenama serta wang tunai RM250.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.
“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal yang berlaku di Kota Bharu dengan anggaran kerugian keseluruhan RM100,000,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan,” kata beliau.






