Tahun lalu Kapten Zainol Afiq selamatkan kru ketika cuaca buruk

9 Sep 2026 • 11:49 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tahun lalu Kapten Zainol Afiq selamatkan kru ketika cuaca buruk

PETALING JAYA – Setahun sebelum nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak, semalam, juruterbangnya, Kapten Zainol Afiq pernah berdepan detik cemas apabila helikopter dikendalikannya terpaksa melakukan pendaratan kecemasan akibat cuaca buruk.

Kisah itu dikongsikan adik iparnya menerusi akaun Threads @_.aimnsuhaimi susulan nahas yang meragut nyawa Kapten Zainol Afiq bersama empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, kejadian pada tahun lalu itu menyaksikan abang iparnya berjaya membawa semua kru mendarat dengan selamat ketika berdepan angin kencang.

“Tahun lepas dia dapat selamatkan semua kru masa angin kuat dekat sana. Berderau sekejap jantung masa itu kakak cerita dekat kami semua.

“Tapi semalam, Allahu, hanya Allah sahaja yang tahu. Doakan kakak saya kuat,” katanya.

Tangkap layar perbualan keluarga yang turut dikongsikan menunjukkan mereka pernah berbincang mengenai kejadian cemas tersebut pada 28 Ogos tahun lalu.

Dalam perbualan itu, isteri Kapten Zainol memaklumkan keadaan angin ketika kejadian sangat kuat sehingga kru doktor yang berada di dalam helikopter turut ketakutan.

“Afiq kata tadi fikir mati saja. Memang angin kuat sangat-sangat tiba-tiba. Doktor, kru semua takut dalam itu. Nasib baik boleh mendarat tadi,” menurut perbualan berkenaan.

Kejadian tersebut turut dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada tarikh sama apabila sebuah helikopter FDS yang membawa seorang pesakit dari Klinik Kesihatan Long Jeeh, Baram terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Loji Rawatan Air Lambir, Miri akibat cuaca buruk.

Pesakit yang berada dalam helikopter berkenaan dilaporkan selamat sebelum dihantar ke Hospital Miri.

Dalam perkongsian sama, adik ipar menyifatkan Kapten Zainol Afiq sebagai seorang suami dan bapa yang baik kepada anak-anaknya.

“Dia adalah adiwira dalam hidup kakak saya, suami yang baik dan ayah yang baik kepada anak-anak mereka,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan adik ipar Kapten Zainol Afiq pada awalnya memohon orang ramai mendoakan keselamatan abang iparnya selepas helikopter BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.

Helikopter kendalian Layang-Layang Aerospace itu sedang menjalankan penerbangan FDS dari Lapangan Terbang Miri ke Long Lellang sebelum terhempas kira-kira pukul 3.40 petang.

Selain Kapten Zainol Afiq, empat lagi mangsa ialah pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya. – KOSMO! ONLINE

The post Tahun lalu Kapten Zainol Afiq selamatkan kru ketika cuaca buruk appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved